TUJUAN ADAT NGAGU ATIS SJD
Di kalangan masyarakat Sang Jati Dusun di sini perkara yang sama turut diamalkan sejak beratus-ratus tahun dahulu malahan ianya menjadi adat turun-temurun yakni suatu kemestian yang perlu dilakukan atas tujuan untuk mensucikan aspek kerohanian dan jasmani kedua-dua jalama taman jenadi (pengantin baharu) agar mereka beroleh puri yao mancoi-mancoi (keturunan yang baik-baik ) dari semua segi seperti paras rupa, kesihatan dan kehidupan mereka di masa depan.
Hakikatnya setiap kali kita mencuci sesuatu ianya memang bermaksud untuk membersihkan benda tersebut agar tidak ada kotoran dan sebagainya yang tidak diingini. Walaupun berbentuk simbolik, adat ngagu atis di kalangan masyarakat Sang Jati di sini memanglah nyata mempunyai maksud yang sama iaitu untuk tujuan pensucian rohani dan jasmani kedua-dua pengantin. Ianya tidak ada mempunyai tujuan sampingan lain seperti yang berunsur materialistik dan sebagainya.
WAKTU MELAKUKAN
Adat ngagu atis SJD biasanya dilakukan apabila kedua pengantin baharu tiba di rumah keluarga pengantin lelaki tujuh hari setelah selesai mereka bersanding atau berkahwin di rumah keluarga pengantin perempuan - apa yang disebut sebagai adat nyugut muli kawin turu adaw (adat ikut pulang tujuh hari).
Di zaman sekarang adat nyugut muli kawin sudah mengalami sedikit perubahan atas sebab penyelarasan dengan lain-lain faktur ekonomi dan masa bilamana ianya dilakukan samada tiga hari atau lima hari selepas mereka berkahwin selain dari tujuh hari yang asalnya dan tertakluk kepada persetujuan bersama di antara pihak keluarga pengantin lelaki dan perempuan pada awalnya.
TATACARA ADAT NGAGU ATIS
Adat ngagu atis berkenaan dilakukan setelah kedua pengantin baharu tiba di kawasan tangga sebelum mereka naik masuk ke rumah. Mereka akan berdiri bergandingan sementara kaki mereka memijak di atas batu pengasah dan parang besi yang disediakan oleh keluarga pengantin lelaki. Seorang budak perempuan yang terpilih yang baik dan sempurna dari semua sudut ukuran fisik, kebatinan, purih dan tingkah lakunya akan datang membawa ketel atau kiri atau lain-lain alat penyimpan air jenis tembaga yang sedia di isi dengan air bersih dan menjirus air tersebut ke belakang tapak kaki kedua pengantin tersebut sebagai tanda pensucian mereka. Menurut adat dan pekercayaan turun temurun cuma seorang yang terpilih itu sahaja yang diberikan tugas menjiruskan air berkenaan.
Batu pengasah dan parang yang diletakkan di bawah kaki kedua pengantin sewaktu adat ngagu atis mempunyai makna yang tersendiri menurut kepercayaan masyarakat setempat. Batu pengasah dan parang adalah simbol perpaduan. Batu dan parang tidak dapat dipisahkan kerana pemarang memerlukan batu untuk mengasahnya agar sentiasa tajam dan dapat digunakan. Batu sendiri tidak ada gunanya jika tidak ada benda yang perlu diasah. Setiap satu mereka saling diperlukan bagi tujuan masing-masing. Secara simboliknya setiap pasangan pengantin itu didoakan agar sentiasa erat bersatupadu umpama pasangan batu pengasah dan pemarang berkenaan disepanjang hayat mereka kelak.
Terdapat juga satu variasi kepercayaan yang agak berlainan di kalangan masyarakat Sang Jati Dusun di mukim ini sendiri tentang tujuan penggunaan batu pengasah dan parang besi berkenaan sewaktu adat berbasuh kaki. Mereka kaitkan nama "besi" sebagai "ngasi" yakni "makbul atau boleh terjadi" . Maksudnya apa yang mereka pohonkan itu agar termakbul dan diperkenankan oleh Tuhan. Sementara batu pengasah adalah jenis benda yang dianggap keras dan ada kaitannya dengan ertikata perpaduan.
Sementara tatacara membasuh kaki bagi mereka tidaklah secara menjirus air ke atas belakang tapak kaki kedua pengantin tetapi air berkenaan di titikkan pada belakang kuku ibu jari kaki kanan bagi pengantin perempuan sahaja. Tujuannya adalah untuk melihat bagaimana air yang dititikkan itu mengalir. Jika ia mengalir ke sebelah kiri maka itu merupakan petanda pengantin perempuan berkenaan kononnya akan bermasalah di suatu masa nanti sementara sebaliknya jika ianya mengalir ke kanan maka itu adalah petanda bahawa pengantin lelaki akan kononnya dipercayai bermasalah di masa depan. Yang dikehendaki sangat ialah air yang dititikkan itu tinggal bergenang saja di atas kuku dan tidak mengalir ke mana-mana kecuali senghaja dijatuhkan. Itulah petanda pasangan pengantin lelaki dan perempuan yang serasi menurut kepercayaan mereka*.
PEMBERIAN PULA (HADIAH KENANG-KENANGAN)
Pihak keluarga pengantin lelaki terutamanya ibu kandung, kakak atau nenek perempuannya akan menghadiahkan sebiji barang kekal buatan tembaga seperti celapa kepada pengantin perempuan yang disebut sebagai pula. Pula atau hadiah kenang-kenangan tersebut pada masa sekarang biasanya boleh saja digantikan dengan benda-benda yang lain seperti cincin, gelang atau rantai emas dan sebagainya.
Kipa yang sering dijadikan hadiah kenang-kenangan |
Apapun bentuk jenis pemberian itu ia adalah merupakan tanda kasih dan ikhlas dari pihak keluarga pengantin lelaki menerima buat pertama kalinya pengantin perempuan tiba sebagai ahli baharu di dalam keluarga pengantin lelaki tersebut. Malahan pemberian itu akan sentiasa disimpan baik dan menjadi kenang-kenangan oleh kedua pengantin dan keluarga mereka di masa depan. Harga dan bentuknya bukanlah dijadikan ukuran akan tetapi apa yang dinilaikan adalah penghormatan dan keikhlasan pihak pemberi yang amat dihargai.
ADAT MANYUGUT - Suatu variasi
Adat menyugut (adat ikut pulang ke rumah keluarga pengantin lelaki) ini juga ada terdapat variasinya bila mana pihak perempuan tidak diperlukan ikut pulang ke rumah pengantin lelaki yakni suaminya apabila ianya berkaitan dengan situasi pihak pengantin lelaki tidak sanggup membayar permintaan keselan dan kebarian menurut adat Sang Jati Dusun secara normalnya dan pihak pengantin lelaki cuma setuju dengan adat "timbang badan" iaitu berserah tubuh badan sahaja kepada pihak keluarga pengantin perempuan.
Dalam hal ini, pihak pengantin lelaki iaitu si suami tidak ada hak terhadap isterinya secara biasa yang turut bermakna dia ikut saja apa yang diaturkan oleh pihak mertuanya sahaja dan tidak boleh dan tidak ada hak untuk membawa isterinya pulang ke rumahnya. Dalam erti kata yang lain dia sanggup berserah tubuh badannya sahaja kepada pihak isterinya tanpa perlu membayar apa-apa sepertimana yang lazimnya. Maka adat menyugut tidak perlu diadakan sementara semua adat-adat perkahwinan yang lainnya dilaksanakan di rumah pengantin perempuan sahaja. Hal seperti ini jarang ada dilakukan.
RAHASIA DI SEBALIK ADAT
Kebiasaannya pihak pengantin perempuan dengan diiringi oleh beberapa ahli keluarganya akan turut kembali pulang ke rumah pengantin lelaki. Adalah dipantangkan untuk suami isteri yang baharu berkahwin itu pulang sendirian tanpa ditemani oleh beberapa orang lain kerana takut terjadi apa-apa yang tidak baik di pertengahan jalan. Takut kononnya diganggu oleh "iblis" dan sebagainya.
Selain adanya kepercayaan seperti di atas terdapat juga lojik yang ketara betapa sedihnya membiarkan kedua mempelai yang baharu saja kahwin untuk pulang sendiri-sendiri. Jika ditemani sekurang-kurangnya oleh dua atau tiga orang ahli keluarga pengantin perempuan ianya akan kelihatan lebih ceria atau meriah dan secara positifnya dapat melambangkan sebagai suatu pertanda keikhlasan hati di pihak keluarga pengantin perempuan menerima pengantin lelaki berkenaan. Jika tidak ditemani maka itu jelas membawa makna atau petanda bahawa pihak keluarga pengantin perempuan memang "andi suka" (tidak suka) kepada pengantin lelaki itu ataupun keluarganya.
Pihak masyarakat SJD di sini amat mengambil berat tentang hal-hal seperti ini dan tidak pernah ingin melukakan hati mana-mana pihak dan sentiasa inginkan kehidupan bermasyarakat yang harmoni dan bersepahaman di sepanjang waktu. Bak kata pantun:
Kilau ngakaot amaok uwat,
Pun abuk adaong kama ;
Kalau sapakat jati kuat,
Kalau basatabug jati lama.
Makna pantun:
Semut menggigit pada urat,
Pohon rambut jangan kamah (kotor);
Kalau bermuafakat kita kuat,
Kalau bermusuh kita lemah.
-----------------------------------
*[Tatacara menitik air di atas seolah-olah tidak bertepatan dengan kehendak maksud adat "membasuh kaki untuk pensucian" yang asal malahan ianya lebih banyak mirip kepada tujuan "menilik" sesuatu sahaja. Walau bagaimana adat memang adat. Lain tempat ada dengan adatnya yang tersendiri dan ianya mungkin terpengaruh dengan tatacara yang dilakukan oleh masyarakat SJD yang tinggal di beberapa kawasan berhampiran di Ulu Tutong seperti di Kampong Long Mayan misalnya. PENULIS]
No comments:
Post a Comment