© SEMUA HAKCIPTA ADALAH TERPELIHARA. All Copyrights Reserved


ISI KANDUNGAN BLOG ****** TENTANG PENULIS*******HOME


Friday, May 24, 2013

ADAT MENETAK ROTAN


Uwai (rotan)  memang biasa ditetak dan diambil batangnya untuk dijadikan bahan pengakut (pengikat) dan punu o (umbutnya) dijadikan makanan. Tetapi tidak semua batang rotan dapat digunakan untuk mengikat dan umbutnya dijadikan umbus (sayur-sayuran).

Uwai saga (rotan saga) baik dijadikan bahan untuk membuat lampit (tikar rotan), uwai dabur,  uwai padaos ya uwai piyos (rotan dabur, rotan pedas dan rotan pios) sesuai untuk anyaman bingkai  saging (tekiding) sementara uwai taut ya uwai pagaw (rotan taut dan rotan pagau) dijadikan anyaman badan tekiding itu sendiri dan membuat ragao (raga), gagan (sarak), bakul dan lainnya. Uwai tumbu (rotan tumbu) sesuai diambil batangnya untuk dijadikan sukud (tongkat) untuk berjalan.

Uwai-uwai (rotan-rotan) jenis dabur (rotan dabur),  lambat (rotan lambat), jempalak dan kiton (jelayan) sesuai diambil umbutnya untuk dimakan.

Uwai rambiyo (rotan rumbia) tidak sesuai digunakan untuk dijadikan bahan pengikat dan anyaman atau sayur tetapi rotan jenis inilah yang penting digunakan oleh masyarakat Sang Jati Dusun di sini untuk dijadikan bahan ketika menyempurnakan adat 'mataod uwai' (menetak rotan) selain untuk dijadikan sebagai bahan membuat bingkai apui salaong (lampu api salang)  dan tali penghulur sewaktu menurunkan keranda di tanah perkuburan. Semuanya berkaitan dengan kematian.

Apakah adat 'mataod uwai' itu?

Kita sering terdengar orang-orang Melayu pernah berkata tentang sumpahan "bertetak rotan berpatah arang"  yang bermakna, secara negatifnya, sebagai "memutuskan pertalian persaudaraan,  persahabatan, kekeluargaan dan sebagainya".  Perilaku bersumpah seperti ini tidaklah ada diamalkan dan tidak akan pernah diadakan oleh masyarakat SJD kerana atas motif buruknya yang secara langsung boleh menggugat keharmonian dan perpaduan keluarga dan masyarakat umumnya.

Secara tradisinya sepertimana yang diamalkan oleh masyarakat SJD (bagi mereka yang tidak beragama Islam atau Kristian) adat mataod uwai (menetak rotan)   ini cuma dilakukan khusus untuk upacara penamat "menjaga dan memelihara" bagi seseorang yang meninggal dunia.  Apabila seseorang itu meninggal dunia maka diadakanlah adat-adat "makan adaw"(jamuan makan menghitung hari) bermula dengan  salaong talu, salaong turu, salaong podapat, akan apat ngapod, akan saratus (api salang ketiga, api salang ketujuh, api salang ke empat belas, jamuan empat puluh hari, jamuan seratus hari) dan bagi yang mampu dilanjutkan hingga kepada akan taun (jamuan tahunan). Apabila pihak keluarga yang berkabung ingin memutuskan sampai dimana mereka berkabung maka diadakanlah upacara adat "mataod uwai" sebagai tanda penamat yang mereka setakat itulah sahaja mengadakan upacara "makan adaw" untuk mengingati orang yang meninggal dunia itu.





Upacara adat "mataod uwai" dilakukan di pondok kuburan orang yang meninggal dunia itu sendiri. Ianya dilaksanakan oleh seorang ahli keluarga tertua lelaki si mati dengan memegang hujung potongan batang rotan rumbia sementara hujung yang bertentangan adalah dianggap sebagai dipegang oleh pihak si mati. Setelah selesai memberi ucapan terakhir yang memberitahu si mati bahawa itulah hari terakhir pihak keluarganya mengadakan "makan adaw" maka rotan itu ditetak putus sekali sahaja  dengan pemarang di atas se batang kayu yang disediakan.

Setelah tamat upacara adat menetak rotan maka tidaklah diadakan apa-apa lagi kegiatan yang dihubungkaitkan dengan pihak si mati selepas itu. Kerana ianya sudah terucap di dalam perjanjian semasa menetak rotan itu yang sedikit sebanyak berbunyi seperti:

   "Ba .....(gon nyabit ngaran jalama natai). Iti no yo antaob jami katamu di dijun. Yo no antaob jami ngesa di dijun. Ancoi-ancoi kow iyaw mok pagun sawat. Adaong maya gina yo andi tantu. Agao nikom rampaod uwai ti. Kuji nikoam saputul ekow nikoam saputul.  Batamu uwai ti kanduwo baru no jati buli katamu lagi." 

[Bah ....(disebut nama si mati). Inilah kali terakhir kami bertemu kamu. Kali terakhir kami menjaga kamu. Baik-baiklah kamu menjalani hidup di akhirat. Jangan ikut perangai mereka yang tidak baik. Pegangkan hujung rotan ini. Saya pegang satu bahagian kamu pegang di satu bahagian. Kita boleh bertemu lagi apabila rotan ini dapat bersambung semula.]


Rotan ditetak putus. Potongan yang dipegang oleh ahli keluarga itu tadi dilontar ke arah matahari hidup sementara potongan yang tinggal dibiarkan di situ sahaja. Semua orang pulang ke rumah untuk melanjutkan upacara menurut adat yang selanjutnya bagi mengumumkan kepada orang ramai bahawa itulah hari terakhir untuk berkabung.



KAITAN ADAT  MATAOD UWAI  DENGAN TANAH PERKUBURAN:

Di dalam masyarakat SJD ada diujudkan pantang larang bagi sesiapa pun untuk "jangan mengacau" kawasan perkuburan. Kawasan kuburan adalah kawasan larangan kerana itulah apa yang termaktub di dalam "perjanjian" adat mataod uwai kecuali ada orang yang meninggal dunia untuk dikebumikan di sana.

Adat adalah adat dan janji adalah janji. Setiap janji haruslah dipatuhi. Yang berjanji adalah kita sendiri. Hormatilah janji kita itu.

Nah...di sini ada pantun yang berkaitan dengan JANJI:

Rabaw-rabaw sawat empapao
Karama kuat mok anggip ao
Karabaw gon nikom samaok tali ao
Jalama gon nikoam samaok janji ao

Teriak-teriak atas lempapa
Ketam kuat pada sepitnya
Kerbau dipegang pada talinya,
Manusia dipegang pada janjinya.


IMPLIKASI ADAT MENETAK ROTAN

Kebanyakan masyarakat sekarang sudah tidak begitu mengetahui tentang apa sebenarnya intipati adat "mamataod uwai" yang sudahpun diamalkan sejak zaman berzaman ini. Mereka dengan sewenang-wenangnya keluar masuk tanah perkuburan orang-orang SJD dengan tidak mengendahkan pantang larang yang ada malahan segelintir dari mereka mencemuh bahawa itu sudahpun ketinggalan zaman dan sebagainya.

Yang ketinggalan zaman ialah manusia itu sendiri. Zaman tetap beredar. Manusia tetap akan hidup dan mati semula. Yang ketinggalan ialah pengetahuan manusia itu sendiri. Setiap manusia mempunyai masyarakatnya dan setiap masyarakat mempunyai amalan cara hidup yakni adat resamnya tersendiri samada tercatat dan tertulis untuk dilihat ataupun diwariskan secara lisan dari mulut ke mulut . Yang tidak mengikut adat dikatakan sebagai andi baradat (tidak beradat) manakala yang tidak tahu peradapan bangsa dikatakan sebagai biadap. 

Adat dan peradapan perlulah dijaga dan dihormati bersama kerana di situlah letaknya keharmonian dan perpaduan bangsa dan negara.



KEPERCYAAN  SJD TENTANG ADAT MATAOD UWAI

Menurut kepercayaan masyarakat SJD,  adat menamatkan tempoh berkabung ini perlu diujudkan demi untuk melepaskan roh orang yang meninggal dunia itu daripada sentiasa berulang alik dari bumi dengan akhirat.  Setelah adat mataod uwai dilakukan maka roh si mati akan menetap di akhirat dan tidak lagi akan turun ke bumi. Sekiranya adat itu tidak dilakukan maka terus-terusanlah roh si mati itu berulang alik turun naik antara bumi dan akhirat  buat selama-lamanya dan ini boleh dianggap sebagai "menyeksa" kepada diri si mati.


[Ini adalah kepercayaan. Setiap manusia ada kepercayaannya tersendiri. Sebagai sesuatu yang subjektif maka ianya tidaklah akan dihuraikan secara panjang lebar di sini. PENULIS]



2 comments:

  1. Sang Telamba PapakanMay 2, 2014 at 8:20 AM

    Adakah sama dengan 'tukad lamatai'?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tidak sama.

      Adat "mataod uwai" dilakukan sebagai upacara penamat bagi mereka yang meninggal. Itulah upacara terakhir buat untuknya sementara "tukad lamatai" yang juga dikenali sebagai "tukad jalama matai" (tangga bagi mereka yang mati) adalah sesuatu yang ditanam ke lobang kuburan pada hari seseorang itu dikebumikan. Pada masa yang sama ada lagi satu tangga lain yang disebut sebagai "tukad jalama iyaw" (tangga orang hidup) yang turut ditanam akan tetapi tangga berkenaan dicabut setelah kerja-kerja menimbus lobang kubur selesai sementara "tukad lamatai" itu tidak dicabut.ketika itu.

      Kedua-dua "tukad" (tangga) diperbuat daripada batang kayu hidup yang sederhana besar dan "agaon nantaom anak tukad mok batang ao" - di kerat pada batangnya beberapa bentuk anak-anak tangga. Tangga yang khusus bagi "jalama iyaw" ditanam dengan cara tangga biasa sementara "tukad jalama matai" ianya ditanam secara terbalik.

      Delete