© SEMUA HAKCIPTA ADALAH TERPELIHARA. All Copyrights Reserved


ISI KANDUNGAN BLOG ****** TENTANG PENULIS*******HOME


Wednesday, February 5, 2014

ADAT MELETUP BULUH SJD


Ada terdapat satu amalan tradisi masyarakat SJD di sini yang disebut sebagai adat ngalaput bulu (adat meletup buluh) yang telah diwarisi sejak beratus-ratus tahun dahulu dan masih dipraktikkan hingga ke zaman sekarang sebagai salah satu adat lazim diadakan sewaktu memperingati hari-hari kematian seseorang itu.

Adat ngalaput bulu

Ianya biasa dilakukan pada waktu malam baru menjelang samada pada hari ke 14 bagi orang-orang dewasa ataupun ke 7 bagi mereka yang masih kanak-kanak lagi selepas mereka itu dikebumikan.



Di dalam masyarakat SJD  di sini adat makan adau (memperingati hari-hari kematian seseorang) itu biasanya berjalan selama 40 atau 100 hari bagi orang-orang dewasa sementara bagi mereka yang berumur muda ianya dilakukan bagi masa yang pendek iaitu 14 hari sahaja.

Terdapat juga satu variasi di mana adat makan adau bagi seseorang kanak-kanak yang berumur kurang dari satu tahun dijalankan selama satu minggu atau 7 hari sahaja  bilamana adat ngalaput bulu baginya diadakan pada malam hari ke 3  ia dikebumikan dan adat matod uwai (adat menetak rotan menandakan berakhirnya hari memperingati hari-hari kematiannya diadakan) diadakan pada hari ketujuh ia dikebumikan.

Satu variasi lagi ialah apabila adat matod uwai ditangguhkan selama 3 tahun akan tetapi adat ngalaput bulu tetap diadakan pada malam hari ke 14 juga. Ini adalah tertakluk kepada keinginan ahli keluarga mereka yang meninggal dunia itu. Yang pastinya kedua-dua adat berkenaan turut diselenggarakan.

Khususnya adat ngalaput bulu ini dilakukan setelah selesai menghantar buntut lampung salaong (buntut lampu salang) ke kuburan iaitu samada pada hari ke 3, ke 7 ataupun ke 14 seseorang itu dikebumikan dan cuma diadakan diwaktu awal malam ketika hari sudah mulai menjadi gelap.

Buluh yang digunakan adalah jenis bulu miling (buluh temiang) yang masih hidup dan jumlah buku buluh yang diletupkan adalah bersamaan dengan jumlah banyak buntut lampu salang yang dihantar ke kuburan di siang hari tersebut. Iaitu di antara 3, 7 atau 14 letupan sahaja dan ditambah pada penghujungnya dengan satu letupan buluh yang dikhususkan bagi orang-orang hidup sahaja sebagai penutup upacara adat ngalaput bulu.

Buluh diletupkan di kawasan bawah rumah iaitu separas dengan  lantai di mana mayat orang yang meninggal dunia itu diletakkan sebelum dikebumikan dahulu. Setiap buluh dipanaskan di atas api sebelum diletupkan dengan cara memukul batang buluh itu dengan menggunakan batang kayu. Sekurang-kurangnya ada dua orang yang melakukan kerja membakar kayu api dan memanaskan batang-batang buluh tersebut dan juga untuk meletupkannya.

Sebelum diletupkan orang yang dikhususkan untuk memukul batang tersebut akan berteriak memberitahu semua orang yang berada di dalam rumah di atasnya untuk bersedia dan seterusnya meletup batang buluh itu sambil berteriak "BAH!" dan terus meletupkan buluh berkenaan dengan cara memukulnya dengan kayu pemukul.  Orang-orang yang berada di atas di dalam rumah tersebut akan melakukan kegiatan mangangka (memukul-mukul dinding dan lantai dan berkejar-kejaran serta berteriak-teriak  seolah-olah mengusir sesuatu keluar dari dalam rumah). Itulah intipatinya adat ngalaput bulu yang sebenar iaitu memberi alamat perengkat pertama  kepada mereka yang sudah meninggal itu untuk mula beredar keluar dari dalam rumah dan tidak lagi roh  dan sebagainya bercampur gaul serumah dengan orang-orang yang masih hidup di dunia ini lagi. 

Adat ngalaput bulu ini adalah adat tradisi puak Sang Jati Dusun di sini. Adat seperti ini juga turut dipraktikkan oleh puak-puak dusun di kawasan-kawasan lain di negara ini.  Memang banyak terdapat unsur  persamaannya tapi cara pengurusannnya ada sedikit berbeza iaitu tertakluk kepada adat kebiasaan masyarakat setempat di kawasan berkenaan yang mereka warisi dari nenek moyang mereka terdahulu.



--------------------------------------------------



No comments:

Post a Comment