Saturday, June 1, 2013

KEMPUNAN: Dari sudut pandangan masyarakat SJD

Kapunan (kempunan) adalah sesuatu yang biasa didengar disebut-sebut oleh orang-orang SJD sejak dahulu lagi hingga membawa ke zaman sekarang.  Apakah kempunan itu sebenarnya?

Terdapat beberapa masyarakat lain di dunia ini menaruh kepercayaan tentang perkara kempunan dan masing-masing mempunyai versinya yang tersendiri. Demikianlah juga halnya dengan masyarakat Sang Jati Dusun di sini tentang perkara yang mereka sebut sebagai kapunan itu.


MAKNA "KAPUNAN":

Kapunan itu sendiri mempunyai dua makna di dalam bahasa Sang Jati Dusun  iaitu:

a) Ditimpa musibah seperti digigit lipan, dipatuk ular, digigit buaya dan sebagainya akibat tidak mengindahkan kadim (pelawaan) seseorang untuk makan atau minum sesuatu.

Contoh ayat:

Eyo ganagaol lamaye kaniab pasal kapunan  andi niup  aig kupi mok alan kawan o.
(Dia digigit lipan kelmarin kerana kempunan tidak minum air kopi di rumah kawannya.)


b) Sebagai bahasa halus yang bermakna anjaop alap (hampa), purak matao (putih mata) atau andi kalap (gagal) mendapatkan sesuatu yang dihajati atau dikehendakinya. Misalnya seseorang itu dikatakan kempunan kerana anak dara yang diidam-idamkannya untuk dijadikannya isteri itu sudah diambil dan dikahwini oleh seorang lelaki lain sebelum dia boleh berbuat sesuatu. Hal ini tidak ada kaitannya dengan kejadian ditimpa musibah.
     

Contoh ayat:

Angat suang pikir na kapunan nao yo ekow eno andi kalap ngalap e Dewi jadi sawao ijun.
(Terlampau banyak fikir maka kempunan (hampa) lah kamu itu tidak dapat mengambil si Dewi menjadi isteri kamu)



BERBAGAI KATEGORI MUSIBAH KEMPUNAN

Dari sudut pandangan masyarakat di sini kapunan boleh dikategorikan sebagai kapunan gayao (kempunan besar) dan kapunan diok (kempunan kecil).

Kapunan gayao (kempunan besar) melibatkan musibah yang hebat seperti digigit buaya, ditimpa punggur kayu, karam di sungai, dilanggar kereta dan sebagainya yang berhubungkait dengan kematian manakala kapunan diok (kempunan kecil) merupakan musibah kecil seperti di gigit lipan, terhiris tangan oleh pisau dan sebagainya. Setentunya tidak seseorang pun yang inginkan musibah-musibah sedemikian dan kerana itulah masyarakat SJD dari dahulu hingga sekarang sedaya upaya menghindari diri masing-masing dari terkena perkara tersebut.

Menurut mereka  kejadian kempunan biasanya terjadi akibat tindakan diri seseorang itu sendiri seperti enggan minum atau makan atau enggan bajamput  yakni menyentuh makanan atau minuman apabila suat kadim (dipelawa) makan atau minum.  Kempunan juga boleh berlaku sekiranya disebut-sebut ataupun bergurau tentang nama-nama makanan yang tidak ada dibawa bersama mereka seperti "tumpi,  wajid, penjaram" atau minuman seperti "kupi, pangasi, ling burak" (kopi, minuman jenis tapai bertajau, air tapai)  ketika berada di tengah hutan atau ketika berperahu di tengah sungai.



JENIS-JENIS KEMPUNAN BERMUSIBAH:

Kapunan yang dipercayai boleh membawa kesan akibat tertimpa musibah itu sendiri dapat dibahagikan kepada beberapa kumpulan:

1) Kapunan matao (kempunan mata)

Menurut kepercayaan kempunan boleh terjadi jika seseorang itu tidak makan atau menyentuh semua jenis makanan yang terhidang  di depannya ketika waktu makan atau minum.  Ini mereka katakan sebagai kapunan matao. Ini cuma yang berkaitan dengan makanan atau minuman yang terhidang khusus untuknya dan bukannya makanan atau minuman untuk orang lain.  Contohnya makanan yang tersaji di atas meja ketika berada di restoran yang boleh dimakan olehnya tapi bukannya yang tersaji di atas meja orang lain dan sebagainya.


2) Kapunan suat kadim makan miup (kempunan kena pelawa makan minum)

Adalah menjadi kempunan bagi seseorang jika dia tidak makan atau minum atau sekurang-kurangnya bajamput (menyentuh) makanan atau minuman itu setelah dipelawa oleh seseorang untuk makan atau minum di mana sahaja.


3) Kapunan nyabit nagaran akan-akan yo anjaop arao enibit
     (Kempunan menyebut nama makanan yang tidak ada dibawa bersama)

Menurut kepercayaan setempat adalah dilarang untuk menyebut secara senghaja sebarang nama makanan yang tidak ada dibawa bersama ketika berada di luar rumah misalnya.


4) Kapalisan kapunan jalama lain
     (Terkena musibah kempunan orang lain)

Adalah juga dipercayai bahawa orang yang mempelawa seseorang untuk makan atau minum dan orang yang dipelawa itu enggan makan atau menyentuh apa yang dihidangkan itu dan terus pergi meninggalkannya tanpa berkata sesuatu juga boleh menyebabkan orang yang mempelawa itu sendiri terkena musibah kempunan.  Dalam hal sebegini maka perlulah dia membaca mentera bajamput khusus untuk menghindar diri dari musibah kempunan tersebut yang berbunyi "Pun sia-sia" sambil meletakkan belakang dan permukaan tapak tangannya ke bibir mulut sebanyak tiga kali.


AMALAN BAJAMPUT:

Perbuatan bajamput (menyentuh) tepi piring atau cawan yang berisi makanan atau minuman adalah lazim dilakukan oleh masyarakat SJD apabila menolak pelawaan seseorang untuk makan atau minum ataupun  terlihat benda makanan yang terhidang didepannya yang dia tidak mahu makan ketika itu. Ketika bajamput seseorang itu biasanya berkata secara sederhana ungkapan perkataan-perkataan "pun sia-sia  ataupun sia-sia pun" yang seolah-olah suatu mantera pendek guna agar terhindar dari sebarang musibah akibat kempunan.



BETULKAH KEMPUNAN BOLEH TERJADI?

Sebab-sebab kenapa kempunan boleh terjadi merupakan sesuatu perkara yang agak subjektif untuk dihuraikan secara terperinci kerana kebanyakan masyarakat di dunia ini tidak ada menaruh kepercayaan langsung tentang perkara "kapunan" malahan terdapat juga beberapa generasi muda Sang Jati Dusun itu sendiri ada yang tidak mempercayainya sekarang dan mempersoalkan tentang validiti keujudan musibah kempunan itu. 

Kepercayaan , apa sahaja jenis kepercayaan secara umumnya, adalah rumit dan kompleks dengan sendirinya difahami oleh masyarakat  atau bangsa lain kerana kepercayaan itu adalah "asing" bagi mereka.  Pihak generasi muda pula lumrah secara biasanya ingin mempersoalkan tentang "sesuatu yang tidak jelas"  atas sebab belum faham atau kurang pemahaman atau tidak mengerti dari sudut saintifiknya kenapa sesuatu yang dipercayai  oleh orang-orang tua itu boleh berlaku.


Apakah perkara "kempunan" ini ada alasan saintifiknya?

Memang belum ada terdapat sebarang kajian mendalam oleh sesiapapun tentang hal ini. Yang ada menjadi sandaran orang-orang tua adalah cerita-cerita pengalaman sejak beratus-ratus tahun dahulu yang menurut mereka ada hubungkaitnya antara lain dengan perbuatan seseorang yang menolak pelawaan seseorang untuk makan atau minum atau senghaja menyebut nama-nama makanan secara bergurau dengan kawan-kawan ketika berada di hutan atau di air.



INTIPATI KEMPUNAN DARI SUDUT PANDANGAN ORANG-ORANG TUA

Menurut pandangan orang-orang tua masyarakat SJD kempunan boleh berlaku kerana beberapa sebab:

a) Tidak menghormati rezeki yang diberikan oleh Yang Maha Pencipta untuknya

      
Setiap rezeki yang ada adalah atas pemberian Yang Maha Pencipta untuk manusia di dunia ini. Tidak ada yang datang atau hadir sendiri-sendiri sebagai rezeki tanpa keiizinan dan pemberianNya.

Contohnya  walaupun seseorang itu berusaha untuk bertanam padi maka belum tentulah dia akan mendapat hasilnya jika bukan atas keredhaanNya. Ladang padi boleh saja ditimpa banjir besar membunuh semua tanam-tanaman di sana. Selanjutnya walau pun sehari semalam seseorang itu memasang pukat di air maka belum tentu dia akan dapat menangkap ikan walau seekor sekali pun tanpa keredhaanNya.

Bagi masyarakat di sini perbuatan ngal kapunan - tidak mahu makan atau menyentuh makanan atau minuman yang terhidang khusus untuknya - merupakan sesuatu perbuatan yang boleh dianggap tidak menghargai malahan menghina pemberian Tuhan. Kalau tidak mahu makan sekurang-kurangnya sentuh sahajalah makanan itu dan bersyukur dan berterima kasihlah  kepadaNya.

Kempunan di sini boleh diertikan sebagai sesuatu "amaran" atau "hukuman" oleh Yang Maha Berkuasa terhadap hambaNya yang tidak "bersyukur' terhadap apa yang khusus diberikan kepadanya. 


b) Tidak menghormati orang yang mempelawanya.

Setiap orang perlulah menghormati orang lain disekelilingnya kerana itulah peradapan biasa bagi sesuatu masyarakat yang dikatakan sebagai yang  bertamadun.  Demikianlah halnya dengan masyarakat SJD di sini.

Setelah suat kadim (dipelawa) seseorang itu biasanya makan atau minum untuk menghormati mereka yang mempelawanya atau jika benar-benar tidak mahu makan atau minum ketika itu sekurang-kurangnya dengan hormat ngajamput - menyentuh dengan jari tangan - pinggir piring atau tepi cawan makanan dan minuman berkenaan sebagai tanda hormat.   "Adaong andi bajamput sapaya andi kapunan - jangan tidak menyentuh supaya tidak kempunan " kata mereka.

Menerima pelawaan makan atau bajamput di sini berkait rapat dengan perbuatan memberi hormat kepada mereka yang  menghidang makanan atau minuman dan juga menghormati rezeki yang terhidang di depan mata.  Kempunan di sini boleh saja diertikan sebagai "balasan" atau "hukuman duniawi " terhadap mereka yang tidak menghormati rezeki dan manusia sesama sendiri di dunia ini.


c) Mempersenda-gurau nama-nama makanan yang tidak ada di depan mata

Kenapakah disebut-sebut nama-nama makanan seperti wajid, penjaram atau tumpi dan sebagainya yang masing-masing, menurut kepercayaan masyarakat SJD,  terkenal sebagai jenis-jenis makanan yang boleh mendatangkan kempunan besar ketika berada di tengah-tengah hutan atau di tengah-tengah sungai kalau benda itu memang tidak ada dibawa bersama-sama?  Bukankah itu suatu perbuatan yang senghaja diada-adakan samada ingin menguji kebesaran kuasa Tuhan atau mempersendakan benda-benda makanan atau minuman yang pada sudut lainnya sebagai sesuatu perbuatan menghina.?  Perbuatan seperti ini wajar dikategorikan sebagai perbuatan mempersenda-guraukan rezeki pemberian Tuhan.

Menurut kepercayaan orang-orang tua buaya biasanya tidak mahu mengacau manusia kerana iapun tahu bahawa dirinya adalah ciptaan Tuhan Yang Maha Berkuasa. Tapi pada suatu ketika manusia yang ada melakukan kesalahan kempunan dilihatnya sebagai seekor kera sahaja maka dengan tidak sabar akan disambarnya ketika orang itu berada di kawasan air. Setelah orang itu lemas mati maka baharulah buaya itu akan sedar kesilapannya dan biasanya akan melepaskan mayat orang itu dan berenang pergi dengan membawa seribu penyesalan. Begitulah serba sedikit bunyi cerita orang-orang tua.

Kempunan jenis ini juga  mudah sahaja diertikan sebagai mempersenda-guraukan kuasa Tuhan Yang Maha Mengetahui.



APAKAH BANGSA LAIN DI DUNIA INI TIDAK PERCAYAKAN MUSIBAH KEMPUNAN?

Kepercayaan tetap kepercayaan. Terserahlah kepada diri masing-masing untuk mempercayai atau tidak mempercayainya. Yang nyata kita boleh saksikan beberapa bangsa lain di dunia ini ada rasa hormat kepada orang-orang yang mempelawa mereka makan atau minum. Sekurang-kurangnya mereka akan berkata "No. Thank you" (Tak. Terima kasih)  atau yang seumpamanya ketika menolak pelawaan seseorang.. Itupun memadailah sebagai sesuatu luahan rasa hormat dan penghargaan terhadap seseorang dan secara tidak langsung menghargai rezeki yang terhidang sama. Memang mereka tidak percayakan (?)  apa yang kita sebutkan sebagai kapunan (kempunan) itu tetapi mereka tetap menghargai dan menghormati segala apa yang ada.



Dengar-dengarlah apabila orang-orang tua berpesan:


"Kalaw andi makan mancoi ni bajamput tagulu. La kapunan kow."
[Kalau tidak makan baiklah menyentuh makanan dahulu. Nanti kamu kempunan




[Memang tak salah pun jika seseorang itu ingin mencuba sendiri samada kempunan itu benar-benar boleh berlaku atau tidak tetapi janganlah pula mempersalahkan orang lain jika musibah itu betul-betul terjadi. Sendiri buat sendiri tanggung akibatnya........ macam tu lah maksudnya. Tetapi maaf, janganlah jadikan orang lain menjadi "guinea pig sebagai bahan kajian saintifik abiskita. PENULIS]

No comments:

Post a Comment