Tuesday, June 25, 2013
KATIROH : SESUATU KEPERCAYAAN LAMA SJD
Ada pernah mendengar orang-orang menyebut tentang perkataan-perkataan berikutkah?
katiroh
natiroh
makatiroh
Masyarakat Sang Jati Dusun di sini pernah dan segelintirnya masih memiliki sejenis kepercayaan yang berupa tegahan bagi seseorang itu untuk berbuat sesuatu yang ganjil atau tidak lazim dilakukan pada saat-saat yang tertentu. Semua perbuatan yang dibuat secara ganjil berkenaan disebut sebagai perbuatan "katiroh" [ka-ti-roh].
Perkara-perkara katiroh ditegah oleh orang-orang tua untuk dilakukan oleh sesiapa kerana menurut kepercayaan mereka ianya boleh dianggap sebagai mengundang bala petaka yakni bahaya yang boleh merosakkan kehidupan diri seseorang itu. Betul tidaknya adalah agak subjektif untuk diperbincangkan di sini secara meluas tetapi jika diteliti dengan halusnya - ini mengambilkira tentang zamannya bilamana dunia masih lagi samar-samar dengan teknologi moden di waktu itu, maka ada juga terdapat fakta mesej amaran yang tersirat disebalik tegahan-tegahan tersebut.
Berikut ada beberapa contoh hal-hal yang boleh dianggap makatiroh (perbuatan ganjil yang seolah-olah senghaja mengundang bala petaka) oleh orang-orang tua:
a) mampaod sangilu ya isaw mantuwong
(memotong kuku dengan pisau di waktu malam)
b) ngatu parai mantuwong
(mengetam padi di waktu malam)
c) nanaom nibung ya raring disan alan
(menanam pokok nibung dan malawaring berhampiran rumah)
d) nampar anak ya lagawi
(menampar anak dengan gegawi)
e) uwai rambiyo isu ngakut tancaok alai
(rotan rumbia dipakai mengikat tiang rumah)
f) menak jarum mantuwong
(memberi jarum di waktu malam)
g) mengal karijan managad ngararaw masa mantuwong
(membuat kerja menebang menebas di waktu malam)
h) bagunting abuk mantuwong
(bergunting rambut di waktu malam)
Di zaman ketika mana belum lagi ada benda-benda seperti bekalan api letrik setentunya adalah sulit untuk berbuat sesuatu di waktu malam seperti memotong kuku dengan pisau atau bergunting rambut boleh saja membuatkan seseorang itu terluka. Demikianlah juga halnya dengan memberi jarum yang kecil di waktu malam. Seseorang itu mudah saja tercucuk jarinya atau pun jika jarum itu jatuh maka sulitlah juga untuk mencarinya di waktu malam.
Mengerjakan perbuatan mengetam dan sebagainya di waktu malam boleh saja mengakibatkan seseorang itu terjatuh atau tertimpa kayu dan sebagainya. Hakikatnya malam adalah juga waktu yang baik untuk rihat dan tidur. Biasanya pada masa dahulu yang gemar keluar di waktu malam sebahagian besarnya adalah mereka yang suka berbuat kerja-kerja maksiat atau jahat seperti mencuri barang-barang orang lain dan sebagainya!
Manakala menanam pokok-pokok liar yang tumbuh di hutan secara semulajadi ditepi-tepi rumah seperti nibung dan malawaring yang kedua-duanya lazim dipercayai oleh orang-orang tua dahulu sebagai ada mempunyai makhluk penunggu yang tertentu adalah perbuatan yang senghaja mengundang kedatangan makhluk ganjil yang kita tidak tahu atau faham tentang perilaku dan kehidupan mereka.
Manakala menampar anak dengan lagawi, iaitu sejenis sudu besar pengaut nasi jenis kayu atau nibung yang dibuat sendiri boleh dianggap sebagai perbuatan yang kotor dan juga boleh mencederakan seseorang budak kecil kendatipun sebab sebenar dipantangkan memukul seseorang dengan gegawi takut kononnya seseorang itu akan tersumpah dan bertukar bentuk menjadi tawan - seekor burung punai dahan - pada hakikatnya sulit juga untuk diterima oleh akal fikiran manusia sekarang. Tapi perbuatan memukul seseorang dengan gegawi memanglah agak ganjil juga.
Rotan rumbia (uwai rambiyo) memang tidak sesuai untuk dijadikan bahan pengikat mana-mana bahagian rumah kerana ianya mudah rapuh (tapu) dalam masa yang pendek. Rumah boleh saja roboh (mutu) akibat menggunakan bahan seperti itu. Selain itu uwai rambiyo pada lazimnya digunakan oleh masyarakat SJD sebagai bahan yang ada hubungkaitnya dengan pengkembumian dan kematian seseorang. Misalnya ianya digunakan sebagai rotan untuk menghulur turun (ngendau) keranda ke lobang kubur (labangan) serta untuk membuat tapak bingkai pendiri lampu salang (apoi salaong) di rumah si mati. Adalah suatu keganjilan bagi seseorang menggunakan rotan jenis ini untuk maksud lain selain dengan yang berkaitan dengan hal-hal kematian. [Guna sahajalah rotan jenis uwai taut dan uwai pagaw jika tidak ada paku untuk menegapkan kedudukan tiang rumah abiskita.]
Perkataan-perkataan katiroh, makatiroh dan natiroh biasa kita dengar dipakai oleh masyarakat SJD di dalam perbualan mereka sehari-hari seperti:
1. Andi kasa bagi jati menak jalama jarum masa mantuwong la makatiroh.
Tidak kuasa bagi kita memberi orang jarum di waktu malam nanti ditimpa bala petaka.
2. Katiroh ntuk jati ngatu parai ngisu lampung mantuwong.
Bala untuk kita mengetam padi menggunakan lampu di waktu malam.
3. Anak eno natai natiroh lapas eyo nakan bua punti rumpak ao disan luang tana mok entalun eno.
Anak itu mati tertimpa bala selepas dia makan buah pisang dijumpainya di tepi lubang tanah di hutan itu.
[Masakan ada buah pisang masak di tepi lubang tanah di tengah hutan jika tidak ada pohonnya tumbuh di sana! Tentunya buah pisang itu adalah pisang ganjil dan bukannya buah pisang biasa. Ia adalah sesuatu yang "menyaru matao" - mengaburi pandangan mata kita sahaja. Keganjilan sebegini banyak diceritakan oleh orang-orang yang pernah melihat hal yang serupa di masa dahulu. Sebagai seorang manusia pengetahuan kita adalah terhad. Yang kita tahu adalah sedikit sahaja manakala yang kita tidak tahu adalah paling banyak sekali. Cuma Tuhan Yang Maha Mengetahui sahajalah yang boleh mengetahui segala-galanya. PENULIS]
No comments:
Post a Comment