Monday, May 13, 2013
KELUARGA BAHAGIA - Dari perspektif peradapan SJD
1. KONSEP BERKELUARGA DAN BERMASYARAKAT SJD
Masyarakat SJD mempunyai pengertian yang tersendiri tentang apa yang dikatakan sebagai keluarga yang bahagia. Kebanyakannya ada persamaan dengan masyarakat yang lain akan tetapi ada juga terdapat perbezaan pada satu atau dua tempat yang nyata. Dari sudut perspektif peradapan masyarakat SJD ianya adalah termasuk seperti berikut:
a) Konsep hidup bersama
"Keluarga" yang ditakrifkan sebagai "family" di dalam bahasa Inggerisnya adalah dilaratkan kepada semua ahli masyarakat yang tinggal bersama-sama di kawasan berkenaan yang disebutkan sebagai anak bua (anak buah). Di masa dahulu masyarakat SJD tinggal bersama-sama di dalam sebuah rumah yang agak panjang dan besar yang mempunyai kawasan liwan atau serambi (ruang tamu) dan dapur yang terbuka dari hujung ke hujung tapi bahagian tengahnya yang dikenali sebagai sirang lubaok (bilik ruang dalam) ada berdinding bersempadan dengan serambi dan keluarga kecil di sebelah kiri kanannya.
Yang tinggal bersama tidak semestinya terdiri dari saudara mara sahaja. Mereka yang bukan dari darah daging sendiripun diperbolehkan tinggal bersama asalkan mendapat keizinan penuh dari masyarakat di sana. Pentingnya semua orang perlulah diambil pedulikan kerana itulah amalan hidup mereka sejak zaman berzaman. Hal ini biasa digelar sebagai kaluarga bamiso alan yakni keluarga nuklear (nuclear family) yang hidup sebumbung.
Ruang serambi yang luas memanjang dipergunakan sebagai tempat untuk kanak-kanak bermain sementara orang-orang dewasa dapat batutur (bercerita-cerita), bapakat (bermuafakat) dan ngadudun (melayan) tetamu yang datang di kawasan tersebut.
b) Konsep berkongsi rezeki
Ruang dapur dipergunakan sebagai tempat masak-memasak dan tempat makan bagi setiap keluarga kecil tersebut. Sekiranya ada mendapat binatang buruan maka dagingnya akan dibahagi-bahagi kepada setiap keluarga kecil seisi rumah besar berkenaan secara percuma sahaja. Mereka akan sentiasa prihatin terhadap semua yang ada tinggal bersama mereka.
"Adaong singot (jangan kedekut), adaong babitong (jangan mengeluh) dan adaong babangkit (jangan ungkit-mengungkit) " merupakan unsur-unsur prinsip kehidupan positif warisan yang telah sebati di jiwa mereka.
Semua diperdulikan. Tidak akan ada masalah kebuluran kerana mereka amalkan cara hidup berkonsepkan " berkongsi rezeki untuk hidup bersama". Siapa yang ada memberi kepada yang tiada dan semua makanan dapat dirasakan bersama.
c) Konsep bantu-membantu
Di zaman dahulu orang-orang SJD biasanya hidup baparai (bertanam padi), nanaom bakayu, gandum, rambiyo ya bagao kaladi (menanam ubi kayu, jagung, rumbia dan ubi keladi) ngantilip (memburu binatang hutan) dan ngancada (menangkap ikan) bersama-sama.
Sebarang kerja seperti ngararaw nagad (menyediakan tempat berpadi ) juga dirunding dan diusahakan bersama secara "baguyu" yakni bergotong-royong atau "baparumoa" yakni bantuan apa perlunya dari yang lain. Begitu juga ketika ngatu (mengetam padi) kelak. Mereka berpegang kepada konsep "hidup bantu membantu" . Sejak berkurun-kurun lamanya mereka telah dilatih untuk menerima hakikat bahawa hidup bukannya sehari. Hari ini dia susah maka mungkin esok hari aku pula yang susah. Susah senang perlu diharungi bersama.
d) Konsep mendidik bersama
Kanak-kanak bermain-main bersama kawan-kawannya. Jika ada pergaduhan atau perselisihan faham, orang-orang dewasa akan mententeramkan mereka. Tidak akan timbul perkara pili kasi (pilih kasih) atau ngalap rat gena (ambil hati) di dalam rumah kerana kerja mangira managur (tegur-menegur) kanak-kanak adalah kewajipan orang-orang dewasa. Tak kira siapa mereka. Kanak-kanak perlukan teguran dan tunjuk ajar yakni didikan yang sempurna. Itulah yang paling penting dalam membina minda kanak-kanak yang membesar dan kanak-kanak perlu dididik bersama. Itulah konsep mereka.
e) Konsep hidup bersatu
Demikianlah juga bagi orang dewasa. Jika ada masalah perselisihan faham maka ianya lekas-lekas dileraikan dengan cara berkumpul dan berbincang ramai-ramai dengan diketuai oleh seseorang yang dianggap berpengaruh, diredakan keadaan dengan aturcara yang aman dan setiakawan, agar hal yang sama tidak berlaku lagi dan tidak akan ujud perasaan dendam-mendendam di antara satu sama lain.
Keteguhan masyarakat dan keluarga berakar-umbikan kesafahaman yang tulin dan sejati. Mereka percaya masyarakat yang bercerai-berai akan membawa bencana yang akan datang bertimpa-timpa. Masyarakat yang pincang akan menjadi lemah dan mudah dikalahkan oleh musuh yang datang. Konsep "bersatu teguh, bercerai roboh" merupakan pegangan hidup mereka yang ujud sejak dari zaman dahulu lagi ketika dunia masih lagi belum begitu bertamadun bilamana yang kuat akan bermaharajalela memperhambakan yang lemah umpama kehidupan binatang di hutan rimba yang berkonsepkan "only the fittest can survive" (yang kuat sahaja boleh hidup).
Masyarakat SJD sedar hakikat berkenaan dan tidak akan membenarkan keujudan pemikiran yang sama seperti binatang itu. Manusia harus mempunyai pemikiran yang lebih baik, pemikiran yang membina dan bukannya untuk merusak. Dalam kehidupan iyaw samo-samo (bersatu) semua yang berat akan dapat menjadi ringan, sebarang masalah atau cabaran yang rumit dapat dirunding dan difikirkan bersama dalam mencari penyelesaian yang terbaik. Itulah intipatinya.
f) Konsep hormat-menghormati
Sejarah dunia banyak memperlihatkan betapa ruginya manusia angkara sifat keangkuhan manusia itu sendiri. Mereka telah musnahkan beberapa golongan yang bertamadun di zaman dahulu atas sebab untuk menunjukkan bahawa dirinyalah konon yang paling hebat dan kuat di dunia. Sebaliknya yang paling kuat tidak pasti boleh mengamankan dunia. Yang pasti boleh adalah pada pemikiran otak yang sihat dan positif tanpa pilih kasih atau yang empunya agenda yang tersendiri.
Yang hidup biarkanlah hidup kerana dia hidup pun bukannya atas kehendaknya. Dia hidup kerana takdirnya dan bukan atas permintaannya sendiri. Hormatilah kepada Yang Maha Pencipta.
Masyarakat SJD mengamalkan sikap hidup yang hormat-menghormati di antara satu sama lain samada sesama manusia tak kira tua dan muda ataupun lain-lain makhluk ciptaan Tuhan di dunia dan ini banyak ditunjulkan di dalam adat-resam warisan mereka yang kaya dengan pantang larang, amalan mesra alam dan mesra kawan. Secara kasarnya intipati konsep hormat menghormati adalah : "Hiduplah sebagai manusia yang berakal, menghormati dan menghargai segala apa yang dicipta oleh Yang Maha Berkuasa di dunia ini. Janganlah hidup sebagai binatang atau hantu shaitan di hutan rimba yang gemar merosak apa saja."
Amalan hormat-menghormati juga dilaratkan secara total terhadap semua yang dianggap layak. Ibu bapa dihormati penuh oleh semua anak-anaknya. Tidak akan ada masalah perselisihan faham, dendam mendendam, ungkit-mengungkit, bentak-membentak dan sebagainya dari pihak anak-anak terhadap semua orang tua mereka. Semua anak-anak akan setia dan bersedia mendengar tunjuk ajar, teguran dan saranan dari pihak mereka yang lebih dewasa dan berpengalaman. Mereka akan sentiasa mendapat nasihat yang baik dari semua pihak di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Amat penting yang kecil menghormati dan menghargai pihak yang tua sementara yang tua sentiasa prihatin dan menyayangi semua anak buahnya. Apa yang ditanam hari ini akan tumbuh dan memberikan hasil di masa akan datang. Sebarang apa yang ditanam sekarang jika dijaga dan diberi baja sebaik-baiknya maka baik dan sempurnalah hasilnya dikemudian hari. Itulah matlamatnya konsep ini.
Begitulah serba sedikit di antara apa yang pernah diamal oleh masyarakat SJD sebagai panduan hidup mereka demi untuk keutuhan, kebahagiaan dan keharmonian masyarakat dan keluarga.
2. APAKAH PERADAPAN SEDEMIKIAN DAPAT DIPERTAHANKAN SEKARANG?
Kehidupan sekarang yang dikatakan sebagai ultra-modern (?) menghadirkan
berbagai cabaran yang nampaknya telah sedikit sebanyak berjaya menggugat dan mengacau-bilaukan institusi kekeluargaan dan kemasyarakatan sejagat .
Masyarakat yang artificial
Kebanyakan masyarakat di mana-mana sekarang sudahpun berubah bentuk menjadi artificial sahaja coraknya. Mereka memang tinggal di suatu kawasan yang sama sebagai jiran tetangga akan tetapi terlalu banyak di kalangan mereka tidak kenal dengan siapa mereka berjiran. Kalau tahupun mereka jarang bertutur sapa bukan kerana sombong tetapi kerana kesibukan yang memaksakan mereka menjadi seolah-olah "robot" yang terpaksa membuat tugas-tugas rutin harian - menghantar dan mengambil anak sekolah, bekerja untuk mencari rezeki dari pagi hingga ke akhir petang, membeli belah di gedung-gedung perniagaan, beriadah di gym, padang permainan atau gelanggang sokan dengan kawan-kawan dan sebagainya atau pun menghadiri seminar, bengkel atau mesyuarat di tempat-tempat yang ternama.
Memang tidak ada banyak unsur-unsur perpaduan dan persafahaman yang sejati terdapat di dalam masyarakat majmuk sekarang. Kalau ada pun itu adalah cuma di dalam kelompok yang kecil sahaja. Kita sekarang sudah tinggal seolah-olah di dalam hutan belantara. Hutan yang penuh dengan bangunan-bangunan konkrit yang dipenghunikan oleh manusia-manusia yang berbilang bangsa, agama dan adat yang majoritinya tidak pernah kenal di antara satu sama yang lain, yang hidup sendiri-sendiri dan mempunyai agenda kehidupan yang tersendiri juga.
Keluarga yang terlalu sibok
Kalau pun ada di rumah, masing-masing akan sibok dengan rutin menonton program kesayangan di kaca tv, bukan satu tv tapi tiga atau empat semuanya, masing-masing dipasang pada bilik yang berasingan. Maklumlah si-ibu akan cenderung dengan program kewanitaan, si-ayah dengan program pesta sukan kegemaran sementara anak-anak masing-masing dengan program cerita kartun dan sebagainya. Ada pula yang asyik dengan telefon bimbit dan lainnya melayani karenah teman-teman atau pun bermain game di komputer.
Kalau waktu makan tengah hari masing-masing memang duduk bersama se meja tapi mereka jarang-jarang ada masa untuk berbual. Maklumlah masing-masing terlalu sibok dengan urusan sendiri. Si anak sering sibok melihat skrin handphonenya daripada melihat wajah ibu bapanya manakala si ibu dan si bapa mahu cepat-cepat siap makan supaya dapat datang ke pejabat tepat jam waktunya demi untuk mengelak keadaan jam di jalanraya. Itupun kalau ada peluang. Biasanya si anak akan makan sendirian di rumah bersama orang gaji manakala ibubapa mereka makan bersama kawan-kawan di restoran. Tak ada masa untuk pulang rumah. Maklumlah penting dengan urusan kerja.
Keluarga yang tinggal bercerai berai
Bukan atas kehendak sendiri tapi keadaan telah memaksa anak-anak tinggal berjauhan dengan ibu bapa mereka. Kanak--kanak perlu belajar jauh dan kemudiannya perlu tinggal di tempat lain. Apabila mendapat pekerjaan nanti mereka juga perlu tinggal dekat dengan tempat mereka bekerja. Apatah lagi setelah mereka mendirikan rumahtangga masing-masing. Mereka ingin hidup "berdikari". Hidup sendiri-sendiri dengan pasangan masing-masing. Ada rumah sendiri. Ada kereta sendiri dan sebagainya. Ibu bapa tak perlu risau. Betul. Ibu bapa tidak perlu khuatir tentang hal anak-anak mereka yang sudah bergaji besar, berumah besar dan serba-serbinya besar.
Tapi kadangkalanya yang "besar" itu membuat seseorang lupakan diri, lupakan keluarga, lupakan masyarakat dan lupakan segala-galanya. Pernah terjadi seorang ibu tua ditinggalkan oleh semua anak-anaknya bersendirian di sebuah rumah meninggal dunia sendirian dan seminggu kemudian baharu diketahui oleh jiran-jirannya. Sewaktu mengkebumikannya, tidak seorang pun anak-anaknya yang "bergaji besar" dan "berpangkat besar" itu ada hadir bersama.
Itulah apa yang disebut sebagai hidup ultra-moden yang serba sibok dan canggih sekarang!
Anak-anak yang terbiar
Banyak anak-anak hidup secara terbiar samada atas sebab ibu bapa mereka bercerai atau meninggal dunia kedua-duanya ataupun dibiarkan melepak dengan kawan-kawan mereka tanpa dibekalkan dengan ajaran atau nasihat yang sempurna dari orang-orang tua mereka. Kebanyakan ibubapa sekarang tidak gemar melihat orang lain mencampuri menegur dan menasihati anak-anak mereka. "Don't be a busy body', "mind your own business', "jangan jaga tepi kain orang lain" "jangan tah ingau kan ikut campur hal kami" dan sebagainya merupakan ayat-ayat yang sering kita dengarkan di zaman sekarang.
Ini agak berlainan dengan amalan orang-orang tua SJD dahulu yang biasa dengan pesanannya yang berbunyi:
"Muyun anak-anak. Adaong muyun maya gina jalama yo andi mancoi"
"Kamu anak-anak. Jangan kamu ikut perangai orang yang tidak baik"
"Muyun anak-anak. Adaong merat gena kalaw jalama ngira di muyun"
" Kamu anak-anak. Jangan ambil hati kalau orang menegur kamu"
Dan kepada jiran, saudara dan kawan-kawan mereka sering berpesan:
"Tulung ngira anak jaye no kalaw arao eyo ngal tabiat yo andi mancoi"
"Tolong nasihat anak saya itu kalau ada dia membuat kelakuan yang tidak baik".
Tak ada yang free
Zaman sekarang adalah zaman materialtistik. Tak ada yang boleh didapat secara percuma. Semua barang makan perlu dibeli. Semua bil letrik, air dan telefon perlu dibayar. Semua perlukan duit. Menurut ucapan salah seorang negarawan dari negara jiran : "Even the air is not free. You have to pay for the air you breathe in". Ah sampai udara pun perlu dibayar! Memang betul juga kerana udara yang bersih perlukan pengorbanan masa, usaha dan wang ringgit untuk mengekalkan kebersihannya. Contohnya kita perlu menanam pokok-pokok supaya udara mendapat bekalan oksigennya yang mencukupi. Secara ekologi, pokok menghasilkan oksigen yang perlu kita sedut masuk ke dalam paru-paru dan menggunakan udara kotor karbon diosida yang kita hembus keluar untuk pertumbuhannya.
Tak ada yang free kah?
Tapi tak kan sampai hingga seseorang ibu perlu membeli ikan dari anaknya sendiri! Adakah pernah si ibu meminta anaknya membayar balik harga susu ibu yang dihisapnya sewaktu dia masih kecil dahulu? Apakah seorang ayah pernah meminta anaknya untuk membayar balik semua perbelanjaan ketika membesar dan menyekolahkannya dahulu?
Tak ada masa nak jenguk emak. Sibok ni!
Betulkah terlalu sibok hingga tak ada masa untuk menjenguk ibu bapa sekali dalam seminggu, atau sekali dalam sebulan, atau sekali dalam setahun? Bukankah dalam setahun itu ada sekurang-kurang 52 hari Jumaat dan 52 hari Ahad. Bukankah hari-hari tersebut adalah hari kelepasan awam? Setiap yang bekerja dengan majikan tentu juga ada diberikan cuti tahunan.
Tapi banyak yang memberi alasan tak ada masa untuk berjumpa dengan orang-orang tua mereka. Sedangkan seorang ibu boleh menjaga sepuluh orang anak manakala sepuluh orang anak jarang-jarang seeorang dari mereka yang sanggup menjaga seorang ibu yang tua di masa sekarang.
Mereka banyak masa untuk bercuti ke luar negeri tapi sayangnya kononnya tak ada masa pula untuk menjenguk ibunya yang tua tinggal bersendirian di sudut kampung.
Biar ambilkan orang gaji untuk membantu emak di sana. Anak-anak tak perlu risau. Itulah sahaja cara penyelesaian mereka yang ada. Bagus tak bagus, orang tua terima saja apa adanya.
Kalau tak jenguk pun sekurang-kurangnya telefon saja ibu bapa yang tinggal berjauhan itu. Tanya-tanya khabar. Para ibu bapa paling gembira dapat mendengar suara anak-anak yang ditimang-timangnya sejak kecil. Asal dapat mendengar suara memadailah bagi mereka. Kasih sayang ibu dan bapa tidaklah dapat dilunturkan oleh sesiapa. Anak tetap anak bagi mereka. Mereka akan sentiasa menyayangi semua anak-anak mereka tak kira di mana mereka berada.
Pernahkah kita menoleh ke belakang semasa kita siap bersalaman dengan ibu bapa kita ketika kita hendak pulang? Pernahkah kita terlihat genangan air di kelopak mata mereka kerana mereka terlalu susah hendak melepaskan kita pergi sementara kita tergesa-gesa masuk kereta cepat-cepat untuk meninggalkan mereka? Itulah kasih sayang sejati seorang ibu dan bapa kepada anak-anaknya.
3. APAKAH KITA SEKARANG SUDAH TERLALU MODEN HINGGA BOLEH MELUPAKAN KELUARGA DAN MASYARAKAT KITA?
Janganlah kita salahkan arus kemodenan sebagai alasan kenapa keluarga dan masyarakat kita pincang. Sebenarnya tidak ada yang boleh dikatakan moden. Semuanya sama. Yang dikatakan moden sekarang adalah kuno seribu tahun kelak. Kita cuma terlalai oleh apa yang kita lihat disekeliling kita sekarang. Banyak benda baru tercipta. Banyak cara baru dapat digunapakai. Zaman dahulu memakai kapal layar, sekarang sudah boleh pakai kapal terbang untuk menuju ke seberang lautan. Dulu main teriak-teriak untuk panggil orang seberang, sekarang angkat saja telefon boleh berbual dengan jelas dengan kawan di negeri sebelah. Dulu jalan kaki berbatu-batu tapi sekarang sudah boleh pakai kereta.
Seribu tahun yang akan datang perkara yang moden sekarang sudah menjadi perkara yang kuno. Mereka boleh saja petik butang dipinggang mereka di New York dan sekejap itu juga mereka boleh sampai di Singapura tanpa menggunakan kapal terbang. Atau secara psychic atau mental power, fikir saja ke mana hendak dituju, kejapkan mata dan buka mata, sampailah ke tempat yang dituju. Tak ada yang mustahil di dunia ini.
Masakan perasaan kita boleh juga tertiru-tiru dengan arus perkembangan masa sehingga lupakan hidup berkeluarga dan bermasyarakat? Bukankah serba-serbi yang tercipta sekarang yang kita katakan moden memperbolehkan kita dengan mudah dan cepat berjalan ke sana ke mari dan mudah berhubung dengan sesiapa sahaja sebaliknya mempermudahkan kita berjumpa dan berinteraksi dengan sanak saudara dan ibubapa atau anak-anak kita? Jika kesibokan menjadi alasan, maka bukankah kita lebih terpelajar dan berilmu canggih sekarang, masakan untuk membuat rancangan untuk selalu bersama keluarga terlalu susah untuk diujudkan. Lain halnya jika kita tidak mahu membuatnya. Tidak mahu berjumpa sesiapapun kerana sudah comfortable dengan kesenangan yang ada. Tidak mahu balik kampung kerana takut malu membawa isteri yang cantik jelita yang kaya raya dan terpelajar itu berjumpa ibubapanya yang hidup meringkuk miskin di pondok buruk di sana. Nakhoda Manis atau si Tenggang moden lah gayanya.
Jelasnya setiap keluarga dan ahli masyarakat sekarang perlukan sekurang-kurangnya dua jenis pendidikan:
1. Pendidikan akademik untuk mencapai kelulusan
[ Education for Qualification]
Perkara ini mudah diperolehi di bangku sekolah dan pusat-pusat pengajian yang tinggi. Jika mereka perlu menjadi doktor maka mereka perlu mendapatkan kemahiran yang wajar dan kelulusan MBBS contohnya.
2. Pendidikan non-akademik untuk mendapat kemahiran hidup
[Life-skill education]
Perkara ini merangkumi semua aspek kemahiran hidup seseorang - kehidupan yang bertata susila, kehidupan yang berjiwa prihatin, berbudi bahasa, hormat-menghormati dan berakhlak tinggi, berfikiran positif dan proaktif, tidak camah mata dan sebagainya..........
Ianya tidak sekadar diajar di rumah, di sekolah atau di padang bola, tapi di mana-mana sahaja dan pendidikan ini tidak terhad masanya bahkan diteruskan dari kecil hinggalah ke akhir hayat.
Pendidiknya bukanlah satu. Semua yang ada di dunia ini adalah gurunya.
[Semua yang ditulis di atas adalah sekadar gambaran senario sahaja. Moga intipatinya dapat dengan mudah difahami semua. Pentingnya setiap keluarga mestilah bahagia. Jika setiap keluarga di dalam masyarakat itu bahagia maka bahagialah juga masyarakat berkenaan. Negara akan sentiasa aman dan makmur jika semua warga masyarakatnya hidup bahagia. PENULIS]
No comments:
Post a Comment