Friday, May 3, 2013

Peradapan Menghidang Tapak Sirih Pinang

Kata orang-orang tua:

"Sambutlah ketibaan tetamu kamu dengan baik dan paling pertama hidangkanlah aluk - tapak sirih pinang kepada mereka kerana aluk  adalah penghulu kepada semua budaya tata-susila yang beradap"    




Setiap tetamu yang datang ke rumah mestilah diberikan layanan yang terbaik semampu yang boleh. Itu adalah satu budaya peradapan yang diamal zaman berzaman oleh masyarakat SJD di sini. Apabila seseorang tamu itu dijemput masuk rumah dan dipelawa duduk  orang rumah akan dengan segera menghidangkan tapak sirih pinang di tengah-tengah mereka. Ini merupakan suatu peradapan yang menunjulkan keikhlasan hati orang rumah menerima tetamunya.



Yang biasa pada zaman dahulu dijadikan sebagai tapak sirih pinang adalah barang-barang seperti  salapa (celapa)  atau kipa jenis tembaga dan aluk uwai (tapak sirih pinang jenis rotan).

Kadangkala aluk berkenaan ada juga yang dianyam daripada bahan-bahan seperti kulit buluh, batang purun ataupun daun mengkuang.                        

Aluk yakni  tapak sirih pinang merupakan perantaraan tempat duduk di antara pihak orang rumah dan tetamu yang datang berkunjung. Jika aluk sudah siap terhidang maka barulah perbualan atau perundingan sempurna dimulakan.  Peradapan seperti ini lazim terus diamalkan oleh sebahagian besar penduduk setempat  dari dahulu hinggalah ke hari ini kendatipun cara hidangannya berubah corak iaitu tapak hidangannya bukanlah jenis celapa tembaga lagi kerana benda tersebut sudah jarang ditemui terjual kepada orang ramai di zaman sekarang. Generasi sekarang seringkali menggunakan raya (suruk mengkuang) atau benda moden seperti  piring kecil atau talam plastik sebagai "aluk" yang diisikan dengan pinang muda atau pinang tua yang siap dibelah kecil sahaja


Isi kandungan "aluk" tradisi

Biasanya salapa atau aluk yang dijadikan tapak sirih pinang yang dihidangkan pada masa-masa dahulu  itu mengandungi benda-benda berikut:

  Apat / talu umi supu (Empat/tiga biji cupu):

           - supu apow (cupu kapur)

           - supu gambir (cupu gambir)

           - supu  raun nyerapa (cupu daun nyerapa)

           - supu bila pinang (cupu belah pinang)

  Raun daing (daun sirih)

  Bua pinang tuo (buah pinang tua)

  Bua pinang muloak (buah pinang muda)

 Miso umi lakati (sebilah kelkati)


Tegahan sewaktu menghidang  "aluk"


Terdapat satu larangan umum masyarakat SJD yang berkaitan dengan urusan menghidang aluk - tapak sirih pinang,   iaitu:


 ADAONG MANTA DUO UMI LAKATI SENALOM MISO SALAPA
             Jangan hidangkan dua bilah kelkati dalam satu celapa


Maksudnya:

Adalah menjadi etika umum sesebuah tapak sirih pinang itu hanya mengandungi satu bilah lakati (kelkati atau kacip pinang) sahaja.  Sekiranya yang dihidang itu lebih dari satu maka pihak tetamu akan mengambil dan membawa pulang lakati yang selebihnya itu sebagai sesuatu yang harus diambil  atau sebagai pemberian tidak langsung  dari pihak orang rumah.

Hal ini mempunyai akar umbinya dari hasil kepercayaan orang-orang di zaman dahulu bahawa menghidang sebilah kelkati boleh diertikan perkara biasa sebagai guna untuk membelah pinang yang tersaji sementara jika terlebih banyak yang terhidang maka ia dianggap sebagai sesuatu perbuatan yang ganjil.

Oleh itu pihak orang rumah adalah dikehendaki berhati-hati semasa menghidang celapanya agar tidak tersilap dengan hal yang sedemikian.

Tindakan tetamu membawa pulang kelkati yang "extra" atau lebih itu tidaklah dilakukan lagi kerana mentaliti para generasi muda sekarang ini sudah berubah dan lebih terbuka.


[Walau bagaimanapun janganlah dicuba-cuba.  Nanti hilang semua kelkati - termasuk celapa yang berharga akhirnya kena kebas!  Maaf ini sekadar jenaka sahaja. PENULIS]


Pengaruh kehidupan moden membawa perubahan

Amalan di atas sekarang sudah beransur terpengaruh dengan cara kehidupan moden bilamana pihak generasi baru mula menggantikan amalan menghidang "aluk" dengan hidangan minuman. Ini dapat difahami kerana kebanyakan orang-orang muda sekarang kurang gemar mitat (memakan pinang bersama sirih berkapur) ataupun "mangumpeh" (memakan pinang tanpa sirih kapur).

Intipatinya mereka tetap melayan tetamu dengan tata-susila yang beradap - memberi hidangan kepada tetamu yang datang bertandang.



    

No comments:

Post a Comment