Sunday, May 26, 2013

JARI-JARI TANGAN DAN LAGENDA PU RIGAN

Tangan biasanya mempunyai lima jari. Dari ibu jari yang besar hinggalah ke jari kelengkeng yang kecil sekali. Setiap jari mempunyai panjang dan bentuk yang berlainan serta kegunaan khusus mengikut kemampuannya.  Kelima-lima jari jika digunakan secara bersatu boleh memberikan genggaman atau pegangan yang kuat  bertenaga berbanding jika digunakan satu-satu.

Bagi masyarakat Sang Jati Dusun, setiap jari diberikan nama tertentu.




Masing-masing disebut sebagai:

indu langaon (ibu jari)

jari tanduru  (jari telunjuk)

jari bantang (jari tengah)

jari manis (jari manis)

jari kaningkis (jari kelengkeng)


[sangilu (kuku jari)]







Jari tangan juga diberikan gelaran nama tertentu di dalam masyarakat SJD di sini.


      NAMA GELARAN                    NAMA JARI


       yagul                                             ibu jari

       yunjuk                                          jari telunjuk

       yantang                                        jari tengah

       yanis                                            jari manis

       ingkis                                          jari kelengkeng



Hal ini ada terdapat di dalam cerita usul asal serta mitos  SJD, Lagenda Pu Rigan,  tentang lima orang adik-beradik lelaki yang diberi nama menurut susunan umur mereka, yang tertua bernama Yagul, yang kedua bernama Yunjuk, yang ketiga bernama Yantang, yang keempat bernama Yanis manakala yang bungsu sekali bernama Ingkis. Masing-masing gagah perkasa dan berani menentang apa sahaja.

Di suatu masa ketika kedatangan seekor ular raksasa jenis jadi-jadian yang digelar sebagai lanut piak bulan (ular piak bulan) yang turun dari langit mengancam nyawa manusia di sekitar kawasan Bukit Sawat mereka lima orang adik-beradik ini tampil ke depan untuk menentangnya.  Kononnya ular itu besar sekali dan dengan sedutan nafasnya sahaja orang dengan mudah masuk ke mulutnya. Ia dikatakan muncul pada masa malam waktu bulan mengembang penuh dan kerana itulah kenapa orang menggelarkannya sebagai ular piak bulan. Banyak sudah orang terkorban menjadi mangsanya dan tidak seorang pun yang berani dan mampu melawannya.

Mereka lima orang beradik ini mencari ikhtiar untuk cuba membunuh ular yang ganas tersebut. Masing-masing mereka berusaha membuat anak sumpitan yang paling berbisa kerana ular ini perlu dibunuh secara sembunyi-sembunyi dan dari jarak jauh sahaja supaya selamat dari sedutan nafasnya.

Yang pertama mencuba ialah Yagul. Yagul berjaya menyumpit badan ular tersebut akan tetapi ianya tidak mendatangkan sebarang kesan kepada makhluk itu. Demikian juga dengan adiknya Yunjuk, Yantang dan Yanis, masing-masing gagal untuk menjahanamkan ular itu.

Sekarang adalah giliran untuk Ingkis, adik yang bungsu untuk mencuba pula.  Ingkis berbadan kecil dan kelihatan secara luarannya sebagai seseorang yang biasa sahaja dan tidak ada tokoh keperwiraannya berbanding dengan abang-abangnya. Abang-abangnya sering mempersenda guraukan tentang keupayaannya untuk menangani masalah ular itu.  Ingkis walaupun berbadan kecil tapi dia mempunyai fikiran yang lebih bijak dari abang-abangnya.

Ingkis membuat persediaan rapi sebelum pergi menentang ular yang selain suka makan orang adalah juga gemar memakan pucuk daun bagu.  Anak sumpitannya dicubanya berkali-kali untuk mengetahui bagaimana bisanya racun yang digunakannya itu. Yang pertama diujinya tidak berapa hebat dan kurang berbisa. Dicarinya lagi bahan-bahan racun yang lain untuk mempertingkatkan kekuatannya dari sehari ke sehari selama tujuh hari sehingga ia berpuas hati. Yang terakhirnya agak hebat sekali. Bisa racun sumpitannya boleh membuat tanah yang disumpitnya berubah warna selebar nyiru. "Iti nao yo kan isu kuji ntuk mamatai lanut piak bulan eno la (inilah dia yang akan aku gunakan untuk membunuh ular piak bulan itu nanti)," kata Ingkis di dalam hatinya.

Ingkis bersembunyi di bawah akar kayu besar di mana terdapat banyak pucuk bagu disekitarnya untuk menanti ketibaan ular berkenaan. Apabila bulan mengembang penuh maka datanglah ular piak bulan itu dengan ganasnya turun dari langit menuju ke arah Ingkis bersembunyi dan terus memakan pucuk-pucuk bagu di sana.  Ingkis dengan sumpitnya bersedia untuk mencari peluang terbaik untuk bertindak. Suatu ketika ular itu menyedari bahawa ia sedang dihendap oleh seseorang dan terus mengalih pandangannya kepada arah di mana Ingkis berada. Dia membuka mulutnya dengan lebar cuba untuk menyedut Ingkis akan tetapi Ingkis tidak dapat disedutnya kerana akar-akar di atas menahan Ingkis daripada tertarik keluar. Ingkis terus menyumpit mulut ular itu dan mengena pada sasarannya. Bisa racun anak sumpitan si Ingkis meresap masuk ke badan ular itu hingga membuatnya pengsan dan mati.

Kononnya setelah empat puluh hari maka baharulah seluruh badan ular piak bulan itu gugur ke bumi. Bekas hempapannya menjadi pupu (lopak berlagun) yang kini terkenal dengan nama Pu Rigan iaitu sebuah kawasan yang terletak bersebelahan bukit dengan bangunan Sekolah Rendah Orang Kaya Pemancha Berandai di Kampong Bukit Sawat. Kawasan Pu Rigan masih lagi kekal sebagai hutan belantara yang asli hingga sekarang ini.










2 comments:

  1. Dkt sama ngn bhsa dusun sabah.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Anonymous.

      Dusun [Liwan Sabah} ada perkataan TUNTURU bagi jari dan SONDULU bagi kuku. Bagi Sang Jati Dusun [Bkt Sawat] ianya adalah JARI dan SANGILU.

      Delete