Friday, March 15, 2013
PUISI LISAN TRADISIONAL
Masyarakat Sang Jati Dusun ada mempunyai puisi lisan tradisionalnya tersendiri.
Siram, dudui, indung dan laku merupakan jenis-jenis puisi warisan masyarakat SJD di sini yang tidak bertulis yang kekal diamalkan dari zaman dahulu hingga sekarang.
Siram merupakan sebentuk puisi luahan perasaan melalui kata-kata yang berirama dengan diiringi oleh bunyi pukulan dombak dan pekikan suara "surung, surung" (teruskan, teruskan - go on, go on) dari orang-orang di sekelilingnya untuk menggalakkan si-penyiram meneruskan persembahannya . Ianya biasa dilakukan oleh orang-orang dewasa yang berpengalaman semasa majlis berjaga-berjaga yang berkaitan dengan keramaian bersuka-suka untuk menghibur hati para hadirin. Siram biasanya digubah untuk menceritakan sesuatu tentang perkara yang lalu dan juga tentang cerita tokoh-tokoh pahlawan serta dewa-dewa.
Laku merupakan sejenis puisi berirama yang dikarang oleh si pelaku, biasanya seorang lelaki berumur yang pitah mengolah kata-kata , tentang hal-hal yang berbentuk senda gurau dan penglipur lara. Laku dipersembahkan di majlis keramaian atau secara sendirian saja. Laku selalunya dipersembahkan tanpa bunyi pukulan dombak dan kalau adapun ianya cuma dipukul sekali-sekala bukannya berpanjangan seperti sewaktu orang bersiram. Laku sebenarnya menurut cerita adalah berasal dari bangsa Kayan, Kenyah dan Bedawan di Sarawak dan cuma hadir di masyarakat SJD di sini sekitar awal tahun-tahun 1900an dengan menggunakan bahasa SJD..
Dudui adalah sejenis nyanyian yang biasanya dilakukan sendirian kadangkala diiringi dengan petikan alat bunyian buluh yang disebut "sibin". Ianya berbentuk luahan perasaan rindu dan kasih sayang seseorang atau mengingati kenangan-kenangan manis yang lama.
Indung juga merupakan sejenis nyanyian yang biasanya dilakukan oleh si ibu atau mereka yang sedang menidurkan anak kecil di dalam "bue" (buaian kain) atau "nangan"(sejenis buaian kayu). Indung dilakukan secara sendirian dan tidak disertai dengan alat bunyi-bunyian.
No comments:
Post a Comment