Wednesday, March 20, 2013
KEPERCAYAAN: BURUNG-BURUNG "ANGAI"
Masyarakat SJD sejak berzaman-zaman telah menyimpan kepercayaaan kepada beberapa jenis burung yang tinggal di sekitar mereka sebagai burung-burung "angai" atau burung-burung yang dipercayai berkeupayaan boleh memberi alamat baik atau tidak baik atau menunjukkan gambaran apa yang bakal akan terjadi.
Burung-burung tersebut adalah:
a) Jariyot (burung jeriot)
b) Sasat (burung sasat)
c) ncaluyon (burung caluyon)
d) salibaw
e) tikbadan
f) taguru
g) sancag
1. Jariyot (burung jeriot)
Jariyot (jeriot) merupakan sejenis burung yang mempunyai bulu berwarna berjenis-jenis seperti putih, hitam, kelabu, merah dan kuning yang berbadan kecil hampir sebesar ibu jari orang dewasa sahaja tetapi mempunyai suara yang nyaring. Burung tersebut banyak terdapat di kawasan pedalaman. Masyarakat SJD sejak sekian lama telah mengambil perhatian mendalam tentang bunyi burung-burung tersebut yang mana menurut kepercayaan mereka jariyot adalah seekor burung "angai" yang berkeupayaan "merasa" dan "menyuarakan" petanda alam dan bunyinya telah diperhati, dibaca, dikaji dan dikenalpasti maknanya oleh orang-orang tua di zaman-zaman lalu dan diwarisi oleh masyarakat SJD hingga ke zaman sekarang.
Di satu keadaan jariyot diperkatakan memberi "alamat yang baik " manakala pada keadaan yang lain menandakan "alamat yang kurang baik" bilamana seseorang itu haruslah banyak berwaspada atau menangguhkan hajatnya untuk berbuat sesuatu misalnya.
Setiap bunyi suara burung jariyot dikenalpasti oleh masyarakat SJD setempat dan diberi nama seperti berikut menurut nada dan iramanya dan dari arah mana ianya kedengaran:
1.1. Bunyi burung jariyot yang menandakan alamat yang baik:
a. Supit-supit (kedengaran lembut cepat)
i) laid kibang (kedengaran dari arah kiri depan)
ii) laid kanan (kedengaran dari arah kanan depan)
b. Kujow-kujow (kedengaran lembut lambat)
"Angai" atau "petanda alamat" yang baik memang dialu-alukan oleh seseorang. Demi untuk memeterai petanda tersebut maka seseorang itu akan menyahut bunyi jeriot yang "supit-supit" atau "
"kujow-kujow" itu dengan serangkap perkataan yang berbunyi "Salamat salamat jariyot".
1.2. Bunyi burung jariyot yang menandakan alamat yang kurang baik:
a. Sarak-sarak (kedengaran nyaring)
i) siow kibang (kedengaran dari arah kiri depan)
ii) siow kanan (kedengaran dari arah kanan depan)
iii) suloam (kedengaran ketika baharu hendak keluar rumah)
b. Sarak madan (kedengaran paling nyaring dibunyikan sekali sahaja seolah-seolah melarang seseorang untuk meneruskan hajatnya)
"Angai" atau "petanda alamat" yang kurang baik seperti " sarak-sarak" perlukan pertimbangan kewaspadaan di pihak orang yang mendengarkannya. Bagi jenis "siow kibang" atau "siow kanan" seseorang itu biasanya berhenti berjalan setelah mendengar bunyi jeriot berkenaan sambil tangannya memegang dan mematahkan dahan kayu kecil yang hidup sambil mengungkapkan serangkap perkataan: "samuni kayu duo baru aku ngisu angai mu jariyot" maka baharulah meneruskan perjalanan.
"Angai" atau "petanda alamat" jenis "suloam" dan "sarak madan" perlukan pertimbangan dan tindakan yang wajar dari seseorang. Biasanya seseorang itu akan berhenti dan berbalik masuk rumah berehat untuk beberapa minit sebelum keluar rumah semula apabila berdepan dengan bunyi jeriot jenis "suloam" manakala seseorang itu tangguhkan saja perjalanannya sekirannya berdepan dengan bunyi jeriot berbentuk "sarak madan".
2. Sasat (burung sasat):
Sasat (burung sasat) merupakan sekor burung yang sedikit besar berbanding burung jeriot, mempunyai bulu berwarna kuning bersuara sederhana nyaring dan pantas terbang.
Yang menjadi perhatian orang-orang SJD adalah tentang dari mana datangnya burung tersebut melintasi di depan seseorang semasa dalam perjalanan. Itulah yang ditafsir sebagai "angai" atau "petanda alamat baik atau tidak baik dan sebagainya", contoh-contohnya:
a) Mampaong kibang (melintas terbang dari kiri ke kanan)
Memberi alamat sesuatu yang tidak baik mungkin akan berlaku tidak berapa lama lagi.
b) Mampaong kanan (sasat melintas terbang dari kanan ke kiri)
Memberi alamat sesuatu yang kurang baik mungkin akan berlaku tapi lambat sedikit)
c) Nyumpog (sasat melintas terbang dari depan ke belakang)
Memberi alamat yang sepertinya melarang supaya jangan meneruskan perjalanan kerana
sesuatu yang tidak baik atau membahayakan berada di depan.
d) Ngembayud (sasat melintas terbang dari belakang ke depan)
Memberi alamat yang mendesak supaya cepat-cepat ke depan kerana ada sesuatu yang
perlukan perhatian peribadi berada di tempat yang dituju misalnya.
3. Ncaluyon (burung caluyon)
Ncaluyon merupakan seekor burung yang sederhana besar yang berbulu serba putih. Burung jenis ini jarang-jarang dijumpai jika senghaja dicari. Apabila seseorang terjumpa seekor burung ncaluyon misalnya sewaktu hendak menghantar orang sakit untuk berubat maka itu adalah sebagai "angai" (petanda alamat) bahawa pesakit itu memang tidak dapat disembuhkan lagi dan bersedialah dengan kain putih untuk digunakan tidak lama lagi.
Bagi masyarakat Sang Jati Dusun warna putih sering dikaitkan dengan "tungkus jalama matai' (kain kapan orang mati).
4. Salibaw
Salibaw merupakan burung-burung hutan jenis yang sederhana besar yang biasanya mengeluarkan bunyi serupa dengan katab iyad (bunyi tangisan) yang mereka lakukan secara rumbu-rumbu (beramai-ramai).
Menurut kepercayaan ianya boleh dijadikan sebagai angai (alamat / petanda) sekiranya seseorang itu memang senghaja berniat bagangai (mencari petanda alam). Selainnya ianya bukanlah dianggap sebagai apa-apa.
5. Tikbadan
Tikbadan adalah sejenis burung yang berbunyi "tik tik" ketika terbang.
Jika ia kedengaran berbunyi disebelah kiri ketika berjalan maka ia dianggap sebagai sesuatu petanda yang kurang baik sementara ianya dianggap cukup baik jika didapati berbunyi di sebelah kanan seseorang ketika menuju ke arah yang ingin dikunjunginya.
6. Taguru
Taguru merupakan sejenis burung yang mengeluarkan bunyi seperti sorakan guru-guru (yang bergemuruh secara beramai-ramai)
Tafsiran angainya berdasarkan dari sebelah mana ianya didapati berbunyi. Jika bunyinya didengar di bahagian kanan maka ia dianggap cukup baik kerana ianya seolah-olah memberitahu awal yang seseorang itu akan bersorak gembira atas kemenangan atau keuntungan yang bakal diperolehinya nanti. Sebaliknya jika kedengaran ianya berbunyi di sebelah kiri maka itu adalah sebagai alamat bahawa seseorang itu akan diketawakan oleh orang lain dt atas kekalahan atau kerugian yang bakal menimpa dirinya.
7. Sancag
Sanjag merupakan burung yang sederhana besar yang biasanya berbunyi " cag cag cag" bertubi-tubi.
Tafsiran angainya di dasarkan kepada dari arah sebelah mana ianya kedengaran berbunyi. Sebelah kiri merupakan kurang baik sementara sebelah kanan dikira sebagai cukup baik.
Sekiranya seseorang itu sering mendengar bunyi sancag berhampiran rumahnya sementara dia memang pekerjaannya adalah memasang jerat dan sebagainya bagi menangkap binatang buruan di hutan maka bunyi sancag itu biasa ditafsirkan sebagai bunyi pemberitahuan alamat bahawa jerat dan sebagainya yang dipasangkannya dihutan sudah mendapat binatang yang dihajatinya dan dia seolah-olah disuruh untuk lekas-lekas menjenguk semua perangkapnya.
Sementara ketika waktu darurat atau kurang aman maka bunyi sancag yang bertubi-tubi didengar di sekitar kawasan luar rumah dipercayai sebagai tanda amaran bahawa setiap orang di situ haruslah sentiasa berwaspada dan siap siaga kerana ancaman bahaya boleh saja berlaku bila-bila masa.
[Kepercayaan tentang tafsiran "angai" dan apa sebenarnya yang berlaku adalah pada kenyataannya sesuatu yang subjektif dan tidak akan diperbincangkan di blog ini. PENULIS]
Satu info yang bagus. Saya pernah mendengar dalam kepercayaan Sang jati Dusun mengenai burung Wang Kulit.. Saya kurang pasti sama ada namanya betul atau salah.
ReplyDeleteDi sin ianya disebut sebagai Kuang Kulit. Kuang Kulit biasanya adalah dari jenis burung berwarna hitam dan berbunyi selalunya ketika waktu malam sahaja. Mungkin ianya diberi nama "kuang kulit" kerana bunyinya "kuang kuang kuang" tersebut.
DeleteNamun begitu ada juga terdapat binatang kecil terutamanya pelanduk yang entah bagaimana boleh mengeluarkan bunyi "kuang kuang" yang sama.
Walau bagaimanapun Kuang Kulit tidaklah dianggap sebagai "angai" oleh masyarakat SJD di sini malahan ianya dianggap sekadar bunyi ganjil yang kadangkala boleh "makalalaow" (menyeramkan tubuh seseorang). Suaranya boleh saja berubah-ubah (tidak lagi kuang-kuang) dan pada ketikanya boleh berbunyi banyak secara serentak.
Kuang Kulit dapat dikategorikan sekurang-kurangnya dalam dua jenis iaitu Kuang Kulit Biasa dan Kuang Kulit Lamatai.