Saturday, May 23, 2015

KETULAHAN



A. KONSEP  "KATULA" (KETULAHAN )

Masyarakat Sang Jati Dusun di sini sejak zaman berzaman mendidik anak-anak mereka supaya sentiasa tidak membantah sebarang nasihat orang-orang yang lebih tua dari mereka terutamanya kedua ibu bapa, nenek-nenek serta mertua dan semua yang bermertabat lebih tinggi dari mereka.

Sedangkan menyebut nama sebenar mertua sendiri adalah terlarang kerana perbuatan sedemikian bukan sahaja dianggap seolah-olah tidak menghormati  mertua bahkan dipercayai perbuatan sedemikian akan mengundang "tula"  (ketulahan) yakni bala atau kehidupan yang penuh dengan kecelakaan di masa depan.

Banyak perkara yang dianggap "makatula"  (menjadi ketulahan)  di dalam kehidupan bermasyarakat Sang Jati Dusun di sini yang sedikit sebanyak telah banyak mempengaruhi cara kehidupan yang harmoni penuh dengan sopan santun dan saling hormat menghormati di antara satu dengan yang lain sejak zaman dahulu.


Contoh-contoh perkara yang menimbulkan ketulahan adalah:


1. Andi kasa nyabit ngaran bangiwan.
    [Tidak kuasa menyebut nama mertua]

2. Andi kasa tamalib kuai lidau dapan rabas jalama tuwo.
    [Tidak kuasa melintas-lintas depan muka orang tua]

 3. Andi kasa ngaramu jalama pangkat sawat tad jati.
    [Tidak kuasa memaki orang berpangkat tinggi dari diri sendiri]

4. Andi kasa baparurud andi tantu ya jalama yao labi tuwo tad jati.
   [Tidak kuasa bergurau tidak menentu dengan orang yang lebih tua dari diri sendiri]

5. Andi kasa tajao-tajao nikom ulu tetuwo.
   [Tidak kuasa  memegang kepala orang-orang tua dengan senghaja]

6. Andi kasa madaop sariba atis jalama tuwo.
   [Tidak kuasa tidur di bawah kaki orang tua]

7. Andi kasa nganjawap kasar tuntut jalama tuwo.
   [Tidak kuasa menjawap kasar cakap orang tua]

8. Andi kasa nuru jari mok jelama-jelama tuwo.
   [Tidak kuasa menunjuk jari kepada orang-orang tua.]

9. Andi su ngancawao kakimu pangkat sawat tad sandiri.
   [Tidak disuruh beristeri wanita yang pangkatnya tinggi dari sendiri]

10.  Andi kasa ngalawan tuntut indu yama atau tetuwo.
      [Tidak kuasa melawan cakap ibubapa atau orang-orang tua]
  
11. Adaong manyumpa anak la matula diso.
      [Jangan menyumpah anak nanti ketulahan dia]


KATULA (ketulahan) dan DARAKA (derhaka) adakah  berbeza?


Katula (ketulahan) bagi masyarakat SJD di sini  adalah tidak sama dengan perbuatan daraka (derhaka).

Ketulahan adalah kesan akibat sesuatu perbuatan yang lazimnya dipercayai terlarang sementara derhaka adalah dianggap sebagai perbuatan menentang sesuatu yang secara normalnya adalah tidak selayaknya terjadi. 

Banyak buku dan filem yang diterbitkan tentang hal-hal anak-anak menderhaka kepada ibu-ibu kandung mereka misalnya saperti kisah-kisah Si Tanggang dan Nakhoda Manis. Mereka ditonjolkan sebagai menderhaka dan disumpah oleh ibu mereka kerana enggan mengakui ibu mereka sendiri atas sebab malu kepada isteri masing-masing.

Doa seorang ibu yang melahirkan adalah dianggap mengasi (berkesan) apatah lagi jika dia menyumpah sudah tentu menjadi ketulahan besar kepada seseorang anak yang dilahir dan diperbesar dengan air susu dan penat lelahnya itu. Tak selayaknyalah seseorang anak sampai menderhaka kepada ibu kandungnya sendiri atas sebab apa jua sekalipun. Jika tidak disumpah sekalipun perbuatan sedemikian memang dipercayai sudah cukup jelas mengundang musibah "ketulahan" yang besar  kepada seseorang anak.


Seseorang yang  natula (ketulahan)  lazimnya tidaklah akan menjadi batu serupa dengan yang dikisahkah di sana. Kesan natula di sini kebanyakannya berbentuk wajah-wajah kehidupan yang kelihatan rumit atau susah yang dipenuhi dengan kesempitan rezeki dan kebanyakan yang dilaksanakan atau dirancangkan sering berakhir dengan kegagalan. Itulah sesuatu akibat natula (ketulahan) menurut kepercayaan masyarakat Sang Jati Dusun setempat.

Kepercayaan adalah subjektif.  Betul tidaknya terserahlah kepada diri masing-masing. Yang penting ianya adalah bersifat positif dan menjurus kepada ciri-ciri kepentingan hidup bermasyarakat agar sentiasa rukun damai dan saling hormat-menghormati di antara satu dengan yang lain.



B.  KATA-KATA TERBITAN

Dari kata dasar "tula" maka terbitlah beberapa perkataan lain seperti berikut:

1.  tula
     Arao tula muyun la andi bapantang mayabit ngaran bangiwan muyun sandiri
    (Ada ketulahan kamu nanti tidak berpantang menyebut nama mertua kamu sendiri)
  

2. katula
   Andi katula ka kalau jati ngalawan tuntut mancoi indu yama?
   (Tidak menjadi ketulahankah kita melawan cakap baik ibu bapa?)

3. natula
    Eyaw ao andi ni pa sanang pasal natula nangada indu yama diso.
   (Kehidupannya tidak juga berapa senang sebab ketulahan membuang ibu bapanya. )


4  matula
    Matula bao jati jikalau nyamarana jalama tuwo jati sandiri.
    (Ketulahanlah kita jikalau menyeksa kehidupan orang tua kita sendiri)


5. makatula
    Andi kasa nyabit ngaran bangiwan la makatula.
    (Tidak boleh menyebut nama mertua nanti ketulahan)

6. ngantula
    Adaong ngantula di jalama la suat ukum ekow.
    (Jangan mengeluarkan kata-kata yang menimbulkan ketulahan orang nanti kena hukum)

    
7. mangantula
    Tuntut mu iti macam mangantula dijaye katab ayu ao.
   (Kata-kata kamu ini seperti menimbulkan ketulahan pada diri ku bunyinya)

8. entelaan
    Selalaom adat arao ukum "entelaan" jikalau manyanai eno ngencawao kakimu pangkat nakaon di diso.
    (Di dalam adat ada hukum "penebus kesalahan yang dianggap mengundang bala ketulahan" apabila pemuda itu beristerikan gadis pangkat kemanakan kepadanya)
   
9. ketelaan
    Jadi ketelaan la di diso kalau mangada di indu yama sandiri.
    (Menjadi ketulahan nanti bagi dia jikalau dia membuang ibu bapanya sendiri.)





C.  Peribahasa Yang Berkaitan Dengan Ketulahan


Tula ti ainkan laku layao kakaton padaos.
(Kesan akibat ketulahan bukanlah seperti halia pabila digigit terasa pedasnya)


Maksud peribahasa: 

Kesan akibat "ketulahan" tidak semestinya timbul dengan serta-merta. Ianya mungkin timbul di suatu masa yang akan datang secara sembunyi-sembunyi tanpa disedari.



D.  Petua penangkis musibah ketulahan

Musibah ketulahan dipercayai dapat ditangkis sekiranya tidak disenghajakan atas sebab secara jujurnya terpaksa dilakukan demi untuk memberikan keterangan yang tepat tetapi tidak ada berunsur negatif disebaliknya.
 
Ada terdapat satu kepercayaan beberapa ahli masyarakat setempat di sini tentang petua  yang dianggap sebagai penangkis kepada segala bala  "ketulahan"yang lazimnya dibaca awal sebelum menyebut sesuatu yang terlarang misalnya apabila menyebut nama orang-orang yang berpangkat mertua, menyebut tentang kisah rumahtangga orang-orang tua mereka sendiri dan lainnya.


Mantera yang dibaca adalah:  
 "Tula batu tatuli"

Maksud sebenar makna mantera tersebut adalah mirip seperti 
"biarlah bala ketulahan itu jatuh kepada batu dan tempurung dan tidak mengena kepada diriku". 

Namun begitu ianya tidaklah layak digunakan bagi mereka yang melawan, menyiksa atau menderhaka kepada ibubapa mereka!

3 comments:

  1. This comment has been removed by a blog administrator.

    ReplyDelete
    Replies
    1. KOMEN JLAMA ENTALUN

      Sukur ikaw ngal selalom blog mu iti, suang basa ku andi pandai. Terimo kasie ikaw nywon, arap-arap ago sengaie basa, tuturan, adat - adat jelama ngcawo, adat jelama matai, adat jelama besala, adat persanakan, uno gala adat Sang Jati sengaie agon nywon selalom iti, sepaya anak-anak turi ngadaw kala kalap ngintong Bangsa Sang Jati yo kan makin sengadaw semakin melanjop. Terimo kasie panulis.

      [Mohon maap Jlama Entalun. Komen ijun parlu panulis edit kadiok untuk kesesuaian blog}

      Delete
    2. Tarimo kasi Jlama Entalun. Memang suang gi sabitan-sabitan Sang Jati yao andi lagi sanuwon panulis mok blog iti.

      Delete