Tuesday, March 26, 2013

EJAAN DAN PENYELARASAN - SUATU HURAIAN AWAL


Ejaan mempunyai peranan yang besar di dalam mana-mana bahasa di dunia ini dan ianya memberi banyak cabaran kepada penulis-penulis berkenaan.  Tidak semua perkataan dapat dieja dengan mudah  dan berbagai cara telah pernah diusahakan demi untuk menyelaraskan ejaan-ejaannya dari masa ke semasa.

Apa yang penting adalah untuk mencipta sesuatu ejaan yang mudah digunapakai oleh semua penulis dan mudah juga dibaca oleh semua.

Ada beberapa perkataan SJD yang sulit dieja secara langsung tetapi mudah dibuat penyelesaian sekadar dengan membubuh huruf-huruf tertentu sahaja. Perkara ini jika dilakukan secara konstan dan konsisten akan boleh dapat diterima dan difahami, jelasnya seperti apa yang berlaku pada ejaan-ejaan perkataan Bahasa Inggeris seperti the, one, bough, tough, but  dsb.  Setentunya ejaannya kelihatan agak berlainan sahaja  berbanding bunyi perkataan itu yang sebenarnya, seperti::

                             the  [ de ]  
                            one  [ wan ]
                        bough  [ baw ]
                         tough  [ taf ]
                             but  [ bat ]

Hal yang sama pernah terjadi terhadap ejaan Bahasa Indonesia sebelumnya ada kerja-kerja penyelarasan ejaan melalui initiatif MALINDO suatu masa dulu, beberapa perkataan dieja agak berlainan dengan bunyinya, seperti:

                          nja  [ nya ]
                        jang  [ yang ]

Demikianlah juga harus diperlakukan sama dengan perkataan SJD demi untuk memperbolehkannya ditulis dan dibaca oleh masyarakat umum kerana kita sama-sama sudah maklum pada masa sekarang cuma sedikit sahaja bahan-bahan bacaan yang ada ditulis dan diterbitkan di dalam Bahasa Sang Jati Dusun. Pada peringkat awal memang sulit untuk difahami akan tetapi jika dibiasakan setiap yang tidak biasa itu akan boleh jadi biasa akhirnya. Mudah-mudahan.

Buku pertama yang pernah diterbitkan di dalam
 bahasa Sang Jati tulisan Mohamad Hatta et al


Beberapa perkataan SJD yang perlu dieja secara berbeza. Misalnya:


                     adaong [a-daong] bermakna jangan
                     mapaok [ma-paok]  bermakna tuli
                     kadaong [ka-daong] bermakna tarik
                     ngabaong [nga-baong] bermakna kurung

Contohnya bagi perkataan "adaong" [a-daong],  jika dieja "adang" [a-dang]  atau "adong"[a-dong] setentunya bunyinya tidak betul dan membawa makna yang berlainan dan boleh saja mengelirukan pembaca. "Adang" membawa makna "cukup" sementara "adong" bermakna "hidung" - sesuatu yang lain dari yang dimaksudkan.  Lihatlah pada contoh ayat-ayat berikut:

          i)    Adaong  pasaya diso.
               Jangan  percayakan dia.
               Do not believe him
 
         ii)     Adang neo jaye. Lapo dijun labi o eno.
                Cukup bagi saya. Ambil oleh kamu selebihnya.
                Enough for me. You take the rest.

        iii)     Adong o mawad.
                Hidungnya panjang.
                His nose is long.

Maka sebaiknya jika diselaraskan dengan penggunaan "ao"  iaitu adaong ianya boleh memberi gambaran tentang bunyi sebutan perkataan yang sebetulnya yang bermakna jangan.

Keseluruhannya ejaan-ejaan perkataan SJD yang sulit dieja memerlukan penyelarasan pada beberapa tempat sekurang-kurangnya seperti penggunaan  ao, oa, uu, u' , aa dan a' tertakluk kepada bunyi sebenar perkataan-perkataan berkenaan disebutkan.  Contoh-contohnya adalah seperti  berikut ini:


1) Penyelarasan dengan "AO"                                                       

    langaos [la-ngaos]  (angin)
    pawaok [pa-waok]   (jendela)
    agao [a-gao] (biar)
    bagao [ba-gao] (ubi manis)
    mampaoh [mam-paoh] (hempas)


2) Penyelarasan dengan "OA"

    engkuroa  [eng-ku-roa]  (kenapa)
    mumpoas [mum-poas]  (muat masuk)
    mutoang [mu-toang]     (busuk)
    luboak [lu-boak] (bilik dalam]
    kutoak-kutoak  [ku-toak ku-toak]  (berketuk-ketuk )

3) Penyelarasan dengan "UU"

    pasauu [pa-sa-uu] (bawah rumah)
    kasauu [ ka-sa-uu] (tahu cerita)
    katamuu [ka-ta-muu]   (berjumpa)
    muu [muu]   (mu)
    ngamumuu [nga-mu-muu]  (berkumur)


4) Penyelarasan dengan "U'"

    mandau' [men-da-u']  (turun)
    limu'      [li-mu']     (ilmu)
    kimu'   [ki-mu']  (perempuan)
    indu'  [in-du'] (ibu)
    punu' [pu-nu']  (umbut)


Contoh :
Terdapat beberapa perkataan  seperti buku dan kayu yang lazimnya dieja sama tapi sebutannya berbeza dibahagian hujungnya untuk menunjukkan makna yang berlainan. Ianya dapat diselaraskan dengan menggunakan uu dan u'  seperti berikut:

            Kuji ngalap duo bukuu tabu (Aku ambil dua buku tebu)
            Eyo mali dua bua buku' untuk nulis (Dia membeli dua buah buku untuk menulis) 

            Adaong nagad kayuu eno (Jangan tebang kayu itu)
            Jalama eno mali sa kayu' libun kemaye. (Orang itu membeli sa gulung kain tadi)
            Kayu' kuat-kuat sapaya lingkas mikot. (Kayuh kuat-kuat supaya lekas sampai)


           bukuu [bu-kuu]  (buku tebu)
           buku'  [bu-ku']   (buku)

           kayuu [ka-yuu]  (kayu)
           kayu' [ka-yu']  (gulung kain)
           kayu' [ka-yu']  (kayuh)
          
5.  Penyelarasan dengan AA dan A'

Perkataan-perkataan Bahasa Melayu mudah dan muda diterjemah sama sebagai muda sahaja di dalam bahasa SJD tapi kedua-duanya disebut secara berlainan. Demi untuk membezakan antara satu dengan yang lain maka dibubuh huruf-huruf aa dan a'  untuk menggambarkan bunyi sebutan yang sebenarnya saperti berikut:

           Mudaa [mu-daa] gala untuk kalap barang iti.
           Mudah saja untuk mendapatkan barang ini.    

           Eyo kakal muda' [mu-da'] lagi ampak mulo-mulo mikot li siti.
           Dia masih muda lagi samasa mula-mula datang ke sini.



EJAAN MASA DEPAN

Perkataan-perkataan seperti gayao, matao & napatao yang bererti besar, mata & sumbing ada baiknya dibiarkan dalam ejaan seperti tersebut dan kemudian sesudah biasa dibaca maka ada baiknya dieja sebagai gayo, mato dan napato sahaja secara rengkasnya. Begitu juga halnya dengan perkataan-perkataan mudaa (mudah), kayuu (kayu), bukuu (buku) dan layuu (layu) ada baiknya dieja sebagai muda, kayu, buku dan layu secara rengkas setelah pembaca sudah terbiasa dengan perkataan dan makna perkataan-perkataan berkenaan di masa akan datang.   Misalnya:

        Muda gala kalaw kan ngal barang eno.
        Mudah sahaja kalau untuk membuat benda itu.

        Buku tabu kadow agaon ngagaol .
        Buku tebu keras untuk digigit.


Ada juga perkataan-perkataan yang pernah dieja sedemikian rupa tapi agak mengelirukan sesiapa yang membacanya sehingga menghasilkan sebutan yang tidak tepat seperti:

         ga-yao (besar) apabila  di eja sebagai ga-yoh 

         ka-yao (kaya) jika dieja sebagai ka-yoh

         ma-tao  (mata) jika dieja sebagai ma-toh
       

 Huruf "h" di situ sebenarnya tidak berbunyi dan mudah disalah fahamkan apabila terbaca dengan ejaan perkataan-perkataan di mana huruf "h" perlu dibunyikan seperti:

a) u-tuh (kelaziman, kebiasaan) dengan perkataan u-tu (ketrampilan) yang tidak perlu dibubuh huruf "h" pada hujungnya.

b) nang-ka-ru-ruh (turun menggelongsor laju) dengan perkataan u-ru (ubat) yang tidak perlu dibubuh huruf "h" dihujungnya seperti pada  u-ruh iaitu sesuatu perkataan yang tidak ada makna langsung di dalam perbendaharan kata SJD.

c) lu-ruh (betul)  perlukan huruf "h" dihujungnya dan perlu dibunyikan pada sebutannya.
             
Contoh ayat:

     Anjop utuh jalama jati mangatu parai mantuwong
     Bukan kebiasaan orang kita mengetam padi di waktu malam.

    Nangkaruruh kuji nendau tad sawat pinang eno kanakot kilaw.
    Menggelongsor laju saya turun dari atas pokok pinang itu digigit semut.

    Luruh katab pandapat mu eno.
    Betul bunyi pendapat kamu itu. 



EJAAN BIAR MUDAH TAPI LOGIK

Maka ada baiknya ejaan-ejaan perlu diseragamkan kepada yang lebih mudah dan logik sahaja dan bukan kepada sesuatu yang lebih mengelirukan.

Perkataan-perkataan seperti mutuu (motor), nutuu (menumbuk padi), bagasuu (memburu bersama anjing) dan batuu (batu) misalnya dieja sebagai mutu, nutu, bagasu dan batu saja di masa-masa akan datang dan bukannya dengan ejaan seperti mutu' atau mutuh, nutu' atau nutuh, bagasuh dan batuh.

          mu-tu (motor) berbanding mu-tu' (runtuh) - makna jadi berubah
                       mu-tuh  - perkataan yang tidak ada makna

          nu-tu (menumbuk padi) berbanding nu-tu' (roboh/memotong dahan ) - makna jadi berubah

          ba-ga-su (memburu bersama anjing)  bukannya ba-ga--suh  - perkataan yang tidak ada makna

          ba-tu (batu) bukannya ba-tuh - perkataan yang tidak ada makna
         
         
               

[Ini adalah sekadar percubaan awal peribadi penulis  untuk menyelaras ejaan-ejaan perkataan-perkataan SJD yang dikhususkan kepada bahasa yang digunapakai setempat di Mukim Bukit Sawat dan bukannya bersifat "authoritative" atau terhad (limited) dan tertakluk kepada penerimaan umum juga semestinya. Perkara penyelarasan ejaan SJD di negara ini belum pernah penulis temui dan jika ada sila kirimkan e-mail kepada penulis blog ini.  Terima kasih]


No comments:

Post a Comment